Notification

×

Iklan

Iklan

Bilangan doktor pelatih di Sarawak menurun

| November 25, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-25T04:06:50Z
Bilangan graduan perubatan yang menjalani latihan amali (housemanship) di Sarawak menurun. Gambar hiasan 

KUCHING— Bilangan graduan perubatan yang menjalani latihan amali (housemanship) di Sarawak berada dalam trend menurun, kata Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang Ming Tee.


Beliau berkata berdasarkan data kementerian, terdapat 270 doktor pelatih baharu yang bertugas di Sarawak pada 2020, 222 orang pada 2021 dan 158 doktor pelatih pada tahun ini.


Tiang berkata penempatan doktor pelatih pada masa ini diatur oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di peringkat Persekutuan, lapor Bernama.


“Hal ini (trend menurun) mungkin disebabkan sistem penempatan baharu yang diguna pakai KKM yang membenarkan graduan baharu memilih hospital untuk latihan amali,” katanya menjawab soalan Datuk Ibrahim Baki (GPS-Satok) semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.


Ibrahim ingin tahu bilangan doktor pelatih baharu yang melapor diri untuk bertugas di Sarawak bagi tempoh dua tahun lepas.


Pada masa ini, terdapat empat hospital di Sarawak yang dapat menyediakan program amali iaitu Hospital Umum Sarawak, Hospital Sibu, Miri dan Bintulu.


Sementara itu, Tiang berkata susulan penubuhan Pasukan Petugas Khas Penambahbaikan Budaya Kerja oleh KKM pada 17 Ogos lepas, dua kes dilaporkan di Sarawak dan kedua-dua kes berkenaan telah disiasat dan diselesaikan.

×
Berita Terbaru Update