Sarawak suntik RM2.3 juta pulih landskap hutan tahun depan

Sarawak meluluskan Program Publisiti Tapak Warisan Dunia UNESCO Taman Negara Niah di Miri. Gambar kredit SFC

KUCHING—Kerajaan Sarawak akan membelanjakan RM2.3 juta dalam Bajet 2023 untuk meneruskan Program Pemulihan Landskap Hutan (FLR) yang berperanan penting dalam mencapai matlamat kelestarian alam sekitar negeri.


Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata program FLR bertujuan memulihkan integriti ekologi dan meningkatkan produktiviti serta nilai ekonomi landskap hutan yang terdegradasi melalui aktiviti seperti penanaman semula pokok.


“Sejumlah RM19 juta telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 untuk melaksanakan projek ini dengan 35 juta pokok disasarkan untuk ditanam dalam tempoh tiga tahun akan datang. 


Sehingga Ogos 2022, lebih 14.45 juta pokok telah ditanam,” katanya ketika membentangkan Bajet negeri 2023 di Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, lapor Bernama.


Beliau juga berkata sejumlah RM6.5 juta dicadangkan di bawah bajet tahun depan untuk pemuliharaan dan perlindungan hidupan liar serta Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA), apabila sejumlah 872,386 hektar telah diwartakan setakat Jun tahun ini dan negeri menyasarkan mencapai 1 juta hektar menjelang 2025.


Beliau juga berkata tiga inisiatif Projek Rakyat telah diluluskan, iaitu Pusat Sehenti Rizab Semula Jadi Bukit Lima di Sibu, Pusat Penemuan Rizab Semula Jadi Piasau dan Program Publisiti Tapak Warisan Dunia UNESCO Taman Negara Niah yang kedua-duanya terletak di Miri.

Next Post Previous Post