Sarawak sasar 200 doktor dalam tempoh lima tahun, Abg Jo

Sekitar Sidang Kedua Konvokesyen Unimas Ke-26 hari. Gambar kredit Pejabat Premier Sarawak

KOTA SAMARAHAN-- Sarawak mahu melahirkan seramai 200 doktor dalam tempoh lima tahun akan datang, bagi memenuhi keperluan pakar perubatan di semua hospital di negeri ini termasuk kawasan luar bandar, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.


Beliau berkata bagi mencapai sasaran itu, Yayasan Sarawak menawarkan biasiswa kepada graduan perubatan untuk memberi peluang kepada mereka, mengikuti kursus lanjutan dalam bidang kepakaran tertentu yang lebih spesifik, lapor Bernama.



“Dari sudut nisbah doktor kepada populasi (di Sarawak), kita masih lagi rendah. Di Unimas (Universiti Malaysia Sarawak) mempunyai hospitalnya sendiri, jadi pelajar perubatan dapat menjalani latihan ‘housemanship’ di Hospital Unimas,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Sidang Kedua Konvokesyen Unimas Ke-26 hari ini.


Beliau juga berkata kerajaan negeri, akan mengenal pasti bidang-bidang lain yang berpotensi untuk pelajarnya menerima biasiswa menerusi yayasan berkenaan, selaras dengan agenda transformasi ekonomi negeri itu menjelang 2030.



Sidang kedua konvokesyen yang dirasmikan Abang Johari sebagai Pro-Canselor Unimas, menyaksikan seramai 574 graduan memperoleh ijazah masing-masing dalam pelbagai peringkat pengajian.


Selain itu, istiadat kali ini turut meraikan 35 penerima biasiswa Yayasan Sarawak daripada program perubatan menerima Ijazah Sarjana Muda.




Next Post Previous Post