Malaysia berdepan gelombang kecil COVID-19 susulan varian XBB

Peningkatan kes COVID-19 susulan penemuan subvarian Omicron XBB di Malaysia, Malaysia berdepan gelombang kecil COVID-19 susulan varian XBB
Gambar hiasan kredit Unsplash

PUTRAJAYA-- Malaysia sedang berdepan gelombang kecil peningkatan kes COVID-19 susulan penemuan subvarian Omicron XBB di negara ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.


Beliau berkata berdasarkan data harian, bilangan kes baharu COVID-19 meningkat sebanyak 16.5 peratus, iaitu dari 14,525 kes pada Minggu Epidemiologi (ME) 42 kepada 16,917 kes pada ME 43 (23 Okt hingga 29 Okt).


Khairy berkata jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan (hospital awam) bagi setiap 100,00 penduduk juga menunjukkan peningkatan sebanyak 14.3 peratus pada ME 43 berbanding ME 42.


“Kita mengesyaki yang mendorong trend kenaikan ini ialah subvarian XBB yang jadi punca gelombang di Singapura yang telah ambil masa tiga hingga empat minggu untuk menurun.


"Barangkali kita juga berdepan dengan jangkitan varian XBB dengan empat kes telah dikesan sehingga 27 Okt lepas,” katanya, lapor Bernama.


Mengulas mengenai empat kes subvarian XBB, Khairy berkata ia melibatkan tiga lelaki dan seorang perempuan warganegara berumur antara 25 hingga 51 tahun dari Selangor dan Negeri Sembilan.


Beliau berkata keempat-empat kes dikesan positif COVID-19 menerusi survelan penjujukan genom dengan kesemua mereka berada dalam kategori dua iaitu mengalami gejala demam, batuk, sakit tekak dan selesema yang sederhana.


Katanya, daripada empat kes tersebut hanya satu kes merupakan kes jangkitan semula dan kesemua mereka telah menjalani isolasi selama tujuh hari serta semua kontak rapat juga telah dikenal pasti.


Justeru Khairy mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan lebih berhati-hati terutama dengan situasi negara yang sedang memasuki fasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan melibatkan banyak majlis dihadiri masyarakat setempat. 


Memandangkan kenaikan kes COVID-19 ini, KKM buat keputusan ingatkan masyarakat bahawa kita masih dalam fasa peralihan ke endemik dan gelombang jangkitan ini akan datang dan pergi.


“Malangnya timing kenaikan kes ketika ini adalah serentak dengan PRU15 sebab itu KKM beri nasihat kepada orang ramai terutama tentang pemakaian pelitup muka memang tidak wajib, tetapi kini ia sangat disarankan terutama di kawasan tertutup yang sesak dan kepada individu yang berisiko tinggi,” katanya. 


Khairy turut menggalakkan petugas barisan hadapan termasuk kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan bertugas semasa PRU15 untuk mengambil dos penggalak kedua vaksin COVID-19.


Dalam pada itu, Khairy berkata Malaysia telah menempah vaksin jenis baharu iaitu Bivalent daripada Pfizer yang akan tiba bulan depan.  


“Tidak ada perolehan tambahan, ini perolehan sedia ada, kita telah tukar tempahan kita daripada vaksin lama kepasa vaksin baharu yang akan sampai pada November,” katanya. 

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.