Sarawak lulus RUU tingkat eksport kayu kepada RM8 billion menjelang 2030

Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak, Sarawak lulus RUU tingkat eksport kayu
Rang undang-undang itu akan membuka laluan bagi transformasi industri kayu ke arah aktiviti ekonomi berorientasikan eksport dan tokokan nilai. Gambar hiasan 

KUCHING— Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) (Pindaan) 2022 bagi membolehkan peruntukan baharu yang bertujuan meningkatkan nilai eksport kayu negeri kepada RM8 bilion menjelang 2030.


Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh berkata rang undang-undang itu akan membuka laluan bagi transformasi industri kayu ke arah aktiviti ekonomi berorientasikan eksport dan tokokan nilai. 


“Dengan sasaran untuk meningkatkan nilai eksport kepada RM8 bilion menjelang 2030, isu kesahan (berkaitan dengan industri kayu) perlu diuruskan dengan baik menerusi tadbir urus yang baik dan aktiviti penguatkuasaan yang efektif,” katanya semasa membentangkan rang undang-undang itu hari ini, lapor Bernama.


Dengan kelulusan rang undang-undang itu, lesen industri kayu akan diperkenalkan untuk menggantikan keperluan pendaftaran industri kayu, manakala permit sementara untuk beroperasi akan dikeluarkan sebagai langkah sementara, sementara menunggu pengeluaran lesen industri kayu.


Rang undang-undang itu juga memperkenalkan peruntukan penalti bagi aktiviti perkayuan haram atau aktiviti berkaitan lain, pembatalan atau penggantungan lesen serta meningkatkan kuasa penguatkuasaan di bawah Ordinan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak 1973.  


Len Talif berkata pindaan itu akan membolehkan ordinan tersebut mempunyai peruntukan mencukupi untuk mengawal selia industri kayu negeri bagi memastikan produknya terus diterima dengan meluas diperingkat global dengan mematuhi keperluan pematuhan kesahan pengguna.  


“Pengenalan rang undang-undang ini adalah penyataan jelas komitmen kukuh kerajaan negeri untuk mengukuhkan rangka kerja undang-undang dan institusi bagi pengurusan efektif industri kayu kita,” katanya. 

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.