PRU15: Johnichal Rayong bantah kemenangan GPS di Lubok Antu


KUCHING—Calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) bagi kawasan parlimen Lubok Antu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Dr Johnichal Rayong Ngipa yang mengalami kekalahan tipis selepas keputusan pengiraan undi diumumkan, sedang berusaha untuk membatalkan keputusan itu.


Katanya permintaan beliau supaya diadakan pengiraan semula jumlah undi, telah ditolak oleh pegawai pengurus pilihan raya ketika itu tanpa sebarang alasan, sebaliknya dia (pengurus pilihan raya) mengumumkan Roy Angau Gingkoi dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai pemenang dengan majoriti 100 undi.


“Pada mulanya (sebelum keputusan diumumkan), saya dimaklumkan bahawa saya sedang mendahului, malah beberapa stesen televisyen turut melaporkan bahawa PSB telah menang satu kerusi, mereka maksudkan saya, namun selepas itu - hilang lagi,” katanya kepada media, lapor Bernama.


Katanya walaupun beliau mempunyai 21 hari selepas tarikh pilihan raya untuk menfailkan petisyen di Mahkamah Pilihan Raya bagi merayu keputusan itu, buat masa ini beliau harap Suruhanjaya Pilihan Raya akan menyemak semula keputusan mereka berhubung permohonan beliau untuk pengiraan semula.


“Saya juga ingin tahu berapa ramai yang telah mengundi di kawasan parlimen itu, berapa banyak undi rosak, berapa banyak kertas undi yang tidak dipulangkan dalan lain-lain lagi,” tambahnya.


Pada PRU15, Dr Rayong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Engkilili terlibat dalam pertembungan empat penjuru di kawasan parlimen Lubok Antu meraih 6,544 undi manakala Roy Angau 6,644 undi, Jugah Muyang (PN-Bersatu) memperoleh 5,360 undi dan Langga Lias (PH-PKR) 746 undi.

Next Post Previous Post