Sarawak eksport tenaga elektrik ke Sabah menjelang 2024


KUCHING— Sarawak akan mengeksport tenaga elektriknya ke Sabah menjelang 2024 apabila projek penjanaan dan penghantaran di Northern Grid Extension bahagian utara itu siap kelak.


Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata buat masa kini, projek bekalan elektrik ke Sabah itu masih dalam peringkat rundingan komersial.


“Pembekalan elektrik sebanyak 30MW ke Sabah Electrricity Sdn Bhd (SESB) adalah disasarkan pada 2024 bergantung kepada siapnya projek Northern Grid Extension,” katanya dalam ucapan penggulungan bajet negeri 2023 di Dewan Undangan Negeri Sarawak, di sini hari ini.


Julaihi berkata jumlah tenaga yang dieksport itu melibatkan dua peratus daripada kapasiti sedia ada pada masa ini iaitu berjumlah 5,996MW. 


“Untuk rekod, penggunaan elektrik di Sarawak sekarang berjumlah 4,398MW. Ini bermakna kita masih mempunyai baki sebanyak 1,478 MW yang mencukupi untuk kegunaan dan keperluan dalam negeri, termasuk penyambungan di bawah Skim Additional Late Applicant Fund,” katanya, lapor Bernama.


Tambah Julaihi, stesen-stesen jana kuasa baharu yang sedang dalam perancangan dan pembinaan itu adalah Combine Cycle Gas Turbine (CCGT) di Miri, CCGT di Samalaju, Sistem Solar Terapung di Empangan Batang Ai dan Empangan Baleh, yang dijangka siap antara 2023 hingga 2028.


Selaras dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi pusat kuasa tenaga Asia Tenggara, Sarawak telah membekalkan sejumlah 89.6MW secara puratanya tenaga elektrik ke Kalimantan, Indonesia sejak 2016  September sehingga September tahun ini.

Next Post Previous Post