Notification

×

Iklan

Iklan

Rogol anak tiri: Mahkamah kekalkan hukuman penjara 15 tahun

| November 08, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-08T09:49:09Z

PUTRAJAYA— Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 15 tahun ke atas seorang lelaki berusia 60 tahun kerana merogol anak tiri perempuannya pada 2017.


Ini selepas warga emas itu, seorang pemandu buggy yang telah bersara, gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara.


Panel tiga hakim yang bersidang terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Nordin Hassan juga memerintahkan lelaki itu dikenakan dua sebatan, lapor Bernama.


Dalam keputusan mahkamah itu, Hakim Has Zanah berkata hakim Mahkamah Sesyen tidak melakukan kekhilafan ketika mensabitkan lelaki itu bagi kesalahan merogol yang disahkan oleh Mahkamah Tinggi.


“Hukuman penjara 15 tahun bagi kesalahan rogol, berdasarkan fakta kes adalah wajar,” kata hakim ketika menolak rayuan lelaki itu terhadap sabitan dan hukumannya.


Beliau bagaimanapun berkata Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang mengenakan hukuman sebat terhadap lelaki itu kerana Seksyen 289 Kanun Prosedur Jenayah  membenarkan hukuman sebat dikenakan ke atas pesalah walaupun tertuduh berumur lebih 50 tahun bagi kesalahan rogol.


Lelaki itu didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 12 Nov 2019  dan dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan lima sebatan rotan kerana merogol anak tirinya yang ketika itu mangsa berusia 17 tahun di sebuah rumah di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor pada Oktober 2017.


Dia juga diperintah menjalani kaunseling pemulihan selama tiga tahun dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.


Pada 5 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak rayuannya terhadap sabitan tetapi mengurangkan hukuman penjara daripada 18 tahun kepada 15 tahun dan mengetepikan hukuman lima sebatan rotan.


Peguam Hamdan Hamzah mewakili lelaki warga emas itu manakala Timbalan Pendakwa Raya Aznee Salmie Ahmad hadir bagi pihak pendakwaan.

×
Berita Terbaru Update