Abang Johari nafi spekulasi kerjasama dengan BN

GPS menafikan laporan persetujuan telah dicapai untuk gabungan itu menyokong BN, Abang Johari nafi spekulasi kerjasama dengan BN
“Saya tidak tahu mengenai itu (kerjasama dengan BN), saya juga baru baca tentangnya,” kata Abang Johari selepas menghadiri majlis Sarawakku Sayang di Lawas hari ini.

LAWAS— Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini menafikan laporan bahawa persetujuan telah dicapai untuk gabungan itu menyokong Barisan Nasional (BN) dalam membentuk kerajaan stabil selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Premier Sarawak berkata setakat ini tiada perjanjian sedemikian dibuat gabungan itu.



“Saya tidak tahu mengenai itu (kerjasama dengan BN), saya juga baru baca tentangnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sarawakku Sayang di sini hari ini, lapor Bernama.


Abang Johari berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan berita yang memetik Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan yang menyatakan BN yakin dapat membentuk kerajaan stabil selepas PRU15 dengan sokongan daripada GPS.




Dalam laporan yang diterbitkan pada 21 Okt lepas, Ahmad juga berkata perkara itu telah dipersetujui dalam mesyuarat sebelum ini antara kedua-dua pakatan berkenaan.


GPS ialah gabungan yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) yang merupakan bekas parti komponen BN. 


Gabungan itu mengumumkan keluar BN pada Jun 2018. 


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 19 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov ini. 

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.