Kerajaan timbang cadangan cuti khas sebelum hari mengundi
![]() |
Menurut Ismail Sabri, pengumuman akan dibuat selepas kajian dibuat. |
BERA—Cadangan pemberian cuti khas sebelum hari pengundian bagi memudahkan pergerakan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dipertimbangkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bercakap dalam sidang media selepas program Kenduri Rakyat di Kampung Bohor Baharu, Kuala Bera di sini hari ini, Ismail Sabri berkata cadangan itu pernah dibincangkan selepas pembubaran Parlimen pada 10 Okt lepas, lapor Bernama.
“Kita tunggu sahaja jika ada pengumuman daripada saya (cuti khas)… kita akan kaji. Sejak mula bubar, kita dah bincang perkara ini, cuma timing itu… Insya-Allah, tunggulah apa pengumuman yang penting, yang mungkin banyak lagi," katanya.
Sebelum ini Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kerajaan mengisytiharkan 18 Nov sebagai cuti umum khas untuk memudahkan pergerakan rakyat Malaysia ke lokasi mengundi pada 19 Nov ini.
Presidennya Datuk Adnan Mat berkata walaupun tarikh mengundi jatuh pada Sabtu, cuti umum tambahan sehari lebih awal itu wajar diberikan memandangkan ramai rakyat Malaysia tidak mengundi di lokasi mereka bekerja.
PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.