Remaja maut melecur, kereta dipandu bertembung lori terbakar di Jalan Serian-Sri Aman

Keadaan kenderaan yang terlibat kemalangan di Jalan Serian - Sri Aman malam tadi. Gambar Bomba

SERIAN--Seorang remaja maut selepas kereta dipandu bertembung dengan lori 10 tan lalu terbakar di Kampung Jirok, Jalan Serian-Sri Aman di sini, malam tadi.


Dalam kejadian itu, mangsa Derry Ronston Jong,18, yang gagal keluar dari kenderaan yang terbakar turut melecur 20 peratus.



Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 10.24 malam dengan menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian ke lokasi kejadian.


"Setibanya di lokasi, didapati sebuah lori 10 tan bertembung dengan sebuah kereta Perodua Alza. 


"Pertembungan tersebut mengakibatkan kebakaran pada kereta Perodua Alza," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menjelas lanjut, katanya, didapati seorang mangsa ditemukan mati akibat terperangkap di dalam kenderaan yang terbakar keseluruhan.


"Mangsa juga melecur 20 peratus, manakala pemandu lori berusia 55 tahun  dan kelindan lori berusia 49 tahun hanya cedera ringan dihantar oleh EMRS Bomba ke hospital Serian untuk mendapat rawatan," katanya.


Katanya,pasukan Bomba membuat pemadaman menggunakan satu aliran saluran bantu mula air dari pam jentera untuk memadam kebakaran kereta sehingga padam sepenuhnya. 


"Pasukan Bomba menyerahkan mangsa  kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.


"Selepas keadaan selamat operasi tamat sepenuhnya jam 2 pagi," katanya.

Next Post Previous Post