92 stesen rangkaian 5G bersedia beri perkhidmatan akhir tahun ini-Julaihi


KUCHING-- Sebanyak 92 stesen rangkaian 5G bersedia (5G ready)  untuk memberi perkhidmatan pada akhir tahun ini, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi.


Beliau memberitahu, pelaksanaan 5G di Sarawak telah bermula pada pertengahan tahun ini dengan jumlah pelaburan RM1 bilion untuk tempoh 10 tahun.



"Lebih 500 buah stesen rangkaian 5G yang meliputi bandar utama seperti Kuching, Miri, Bintulu dan Sibu dijangka beroperasi secara berperingkat sehingga akhir tahun 2023.


"Pada masa ini, 92 buah stesen rangkaian 5G bersedia (5G ready) untuk memberi perkhidmatan pada akhir tahun ini," katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.


Jelas Julaihi, ini selaras dengan aspirasi Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk merealisasikan transformasi ekonomi digital di Sarawak.


"Ketersediaan teknologi 5G di Sarawak sedang giat dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Digital Nasional Berhad (DNB)," tambahnya lagi.


Mengenai Jalinan Digital Negara (JENDELA), beliau berkata, sebagai langkah memperluas dan mempertingkatkan liputan perkhidmatan telekomunikasi di Sarawak, Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang giat melaksanakan empat inisiatif utama  di bawah pelan JENDELA di Sarawak.


Ia katanya, pembinaan sebanyak 835 menara baharu 4G yang telah diperuntukkan di Sarawak di mana sebanyak 105 buah menara telah beroperasi dan bakinya dijangka siap secara berperingkat sehingga suku keempat tahun 2023.


"Selain itu, menaik taraf perkhidmatan 3G kepada 4G di 3,515 buah stesen pemancar yang terdapat pada menara sedia ada. 


"Sebanyak 3,259 buah stesen pemancar telah siap dinaik taraf  dan bakinya dijadual siap dan beroperasi secara berperingkat sehingga suku kedua tahun 2023. 


"Bagi memastikan penggunaan 4G secara optimum, pengguna dinasihatkan untuk memastikan peranti dan simcard mereka adalah berpadanan dengan teknologi 4G (in other words, 4G compatible) dan tidak lagi berdasarkan teknologi 3G," jelasnya.


Katanya lagi, peluasan perkhidmatan gentian optik ke 121,736 buah premis  kediaman dan perniagaan juga sedang dilaksanakan. 

 

Menurutnya, sebanyak 84,017 buah premis telah siap dengan penyambungan gentian optik manakala bakinya dijangka siap penghujung tahun ini.


"Selain itu, menyediakan akses capaian jalur lebar menerusi satelit (Broadband Wireless Access) di 523 buah lokasi di luar bandar dan telah beroperasi sepenuhnya," ujarnya.

Next Post Previous Post