PRU15: Polis Sarawak gerak 7,701 anggota bertugas Sabtu ini


KUCHING—Seramai 7,701 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sarawak akan ditugaskan di seluruh negeri pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.


Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata daripada jumlah berkenaan, seramai 3,060 anggota akan ditugaskan sehari selepas PRU15.


“Bagi pelepasan (sumber manusia) fasa dua (untuk hari pengundian) hari ini, ia melibatkan seramai 1,587 anggota terdiri daripada pegawai rendah polis untuk bertugas di kesemua 4,183 saluran mengundi,” katanya pada sidang media selepas majlis pelepasan bantuan sumber manusia fasa dua PRU15 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) hari ini.


Beliau berkata selain itu bantuan sumber manusia di kesemua 28 daerah polis di Sarawak juga akan dilaksanakan secara berperingkat, lapor Bernama.


Katanya pelepasan bantuan sumber manusia fasa dua ini turut melibatkan 376 pelatih Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching sebagai bantuan sokongan kepada pasukan petugas bagi menghadapi monsun timur laut pada hari pengundian. 


Fasa pertama penugasan PRU15 PDRM Sarawak telah dilaksanakan bermula pada hari penamaan calon 5 Nov lepas melibatkan 3,667 pegawai dan anggota. 


Dalam pada itu, Mohd Azman memaklumkan Polis Sarawak tidak menerima sebarang laporan yang membawa ancaman serius kepada keselamatan negeri pada PRU15 melainkan beberapa aduan berkaitan kejadian menconteng kain rentang dan poster kempen calon. 

Next Post Previous Post