9 kes curi pikap selesai, Geng Ah Ann tumpas


KUCHING--Polis menyelesaikan sembilan kes curi pikap di sekitar bandaraya Kuching dan daerah lain dengan tertumpasnya tiga suspek lelaki  'Geng Ah Ann'.


Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia 29 hingga 41 tahun, dengan jumlah kesemua rekod siasatan lampau sebanyak 50 kes melibatkan dadah dan jenayah harta benda ditangkap pada 25 Oktober lalu dalam Op Bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.


"Kesemua suspek juga adalah bekas tahanan mengikut Akta Pencegahan 1959 (POCA).


"Sindiket ini menggunakan peralatan khas untuk 'jammer and bypass' sistem keselamatan kenderaan dan sistem GPS yang dipasang serta menggunakan peralatan lain," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, pihak polis juga telah merampas satu kenderaan pikap, peralatan unit RF GS detector, satu set peralatan kenderaan, satu unit perumah kunci kereta, satu unit portable signal jammer GPS, satu unit drill, satu unit pemutar skru yang telah diubah suai, dua unit kabel serta dua plat nombor pendaftaran kenderaan.


"Jumlah kerugian akibat perbuatan jenayah sindiket ini dianggarkan berjumlah RM 700,000.


"Kertas siasatan telah dibuka dan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 382A," tegasnya.

Next Post Previous Post