Notification

×

Iklan

Iklan

PRU15: Parlimen tergantung, tiada parti peroleh majoriti

| November 20, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-20T04:19:39Z

KUALA LUMPUR—Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), yang paling sengit pernah dihadapi negara, berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.


Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi, setakat 4.30 pagi apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengisytiharkan keputusan bagi 219 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.


PN membuka gelanggang buat kali pertama dalam pilihan raya umum dengan mempamerkan prestasi mengagumkan apabila menyapu bersih 14 kerusi Parlimen di Kelantan dan lapan di Terengganu menggunakan logo PAS, selain membentuk kerajaan negeri di Perlis setelah memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).


Barisan Nasional (BN) yang sudah bersedia untuk kembali menerajui Putrajaya sebaliknya mengalami kekalahan paling buruk dalam sejarah politiknya apabila hanya memenangi 30 daripada 178 kerusi yang ditandingi.


Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang 22 kerusi, berbanding 18 kerusi disandangnya pada Parlimen lepas; Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan enam kerusi; Warisan (tiga); Bebas (dua) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) meraih satu kerusi manakala Gerakan Tanah Air (GTA) dalam penampilan sulungnya gagal memenangi sebarang kerusi.


Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media pada 5 pagi berkata tiada pihak yang memperoleh majoriti 50 peratus daripada 219 kerusi yang diisytiharkan, lapor Bernama.


Pilihan raya bagi kerusi Parlimen Padang Serai di Kedah ditangguhkan kepada 7 Dis selepas calon PH, yang juga penyandang kerusi M. Karupaiya meninggal dunia pada 16 Nov.


Pengundian di 11 pusat pengundian di kawasan Parlimen Baram di Sarawak digantung berikutan cuaca buruk menyebabkan petugasnya tidak dapat ke pusat berkenaan manakala SPR tidak dapat mengumumkan keputusan bagi kerusi Parlimen Kota Marudu, juga disebabkan cuaca.


Situasi ini menepati ramalan penganalisis politik bahawa tiada parti memperoleh majoriti mudah selain menjangkakan kerajaan yang akan dibentuk adalah kerajaan campuran.


Bagi pilihan raya umum kali ini, penguatkuasaan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti berkuat kuasa 5 Okt lepas, menjadi penghalang kepada mana-mana Ahli Parlimen yang menang untuk bertukar parti bagi memperoleh majoriti.


Menerusi pindaan Perlembagaan berkenaan, seorang ahli Dewan Rakyat akan hilang kerusi dimenanginya jika wakil rakyat itu bertukar parti. Bagaimanapun ia tidak melarang mana-mana gabungan daripada bekerjasama dengan gabungan atau parti lain untuk membentuk kerajaan campuran.


Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengekalkan kemenangannya di Parlimen Pagoh berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan mana-mana parti untuk membentuk kerajaan yang bersih dan stabil, kecuali PH, selain akan mengadakan perbincangan dengan pimpinan parti dari Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat.


Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya sudah mencapai persetujuan dengan beberapa parti untuk mendapatkan majoriti mudah bagi membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.


Sementara Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi kenyataannya berkata mereka menerima dan menghormati keputusan rakyat.


Sementara itu, PRU15 ini juga memperlihatkan kemunculan beberapa giant killer apabila menumbangkan nama besar antaranya dua figura politik berpengaruh tanah air iaitu bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, 96, di Parlimen Langkawi, Kedah dan Tengku Razaleigh Hamzah, 85, di Gua Musang, Kelantan.


Menerajui pemerintahan sebanyak dua kali sebagai Perdana Menteri keempat dan ketujuh, Dr Mahathir yang berkhidmat selama sepenggal di pulau legenda serta anaknya Datuk Seri Mukhriz juga kecundang di Parlimen Jerlun, masing-masing kehilangan wang deposit setelah hanya meraih 4,566 undi dan 3,144 undi.


Tengku Razaleigh atau lebih dikenali Ku Li merupakan wakil rakyat paling lama berkhidmat iaitu 12 penggal di Parlimen selepas kali pertama bertanding di kerusi yang dulunya dikenali sebagai Ulu Kelantan pada 1974.


Beberapa Menteri Kabinet juga tewas termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun serta Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dari PN.


Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dari BN serta Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin (PBM), turut menerima nasib sama.


PRU15 juga menyaksikan tamatnya cengkaman legasi keluarga Anwar di Parlimen Permatang Pauh, warisan yang dikekalkan sejak 1982 selepas anaknya Nurul Izzah tumpas di kubu kuat manakala Bendahari UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kalah mengejut kepada Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin di Putrajaya.


Proses demokrasi negara berjalan lancar walaupun musim hujan disebabkan Monsun Timur Laut. Hujan tidak menghalang pengundi termasuk 1.4 juta pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun menunaikan tanggungjawab dengan jumlah peratusan keluar mengundi direkodkan sebanyak 73.89 peratus tanpa mengambil kira Padang Serai, Baram dan Kota Marudu.


Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan untuk PRU15 mengandungi 21,173,638 pemilih  terdiri daripada 20,853,681 orang pengundi biasa; 146,737 orang tentera serta pasangan; 118,794 orang polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan dan 2,741 orang pengundi tidak hadir luar negara.


Selain Perlis, Pahang dan Perak turut mengadakan pilihan raya negeri serentak dan pilihan raya kecil diadakan di kerusi DUN Bugaya di Sabah yang ditangguhkan berikutan proklamasi darurat bagi mencegah penularan pandemik COVID-19 pada 2020.


Di Pahang yang mempertandingkan 41 daripada 42 kerusi DUN, menyaksikan tiada parti memperoleh majoriti mudah selepas PN memenangi 17 kerusi; BN (16) dan PH (lapan). Pemilihan kerusi Tioman ditangguhkan kepada 7 Dis selepas calon PN, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia sebelum pengundian dibuka semalam.


Situasi sama berlaku di Perak yang memiliki 59 DUN. PN menguasai 26 kerusi; PH (24) manakala BN hanya meraih sembilan kerusi.


Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya yang diadakan selepas kematian penyandang Datin Manis Muka Mohd Darah daripada Warisan pada 17 Nov 2020, menyaksikan calon parti itu mempertahankan kerusi dengan majoriti 6,629 undi menewaskan enam pencabar lain.

×
Berita Terbaru Update