PRU15: GRS beri sokongan kerajaan Persekutuan beri kestabilan kepada Sabah, Sarawak

Menurut Hajiji, beliau telah menerima panggilan daripada Premier Sarawak Abang Johari bagi berbincang dan membentuk kata sepakat tentang sokongan kepada kerajaan Persekutuan.

KOTA KINABALU— Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor berkata gabungan itu akan memberi sokongan kepada kerajaan Persekutuan yang mampu memberi kebaikan dan kestabilan kepada Sabah serta Sarawak.


Ketua Menteri Sabah itu berkata beliau telah menerima panggilan daripada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi berbincang dan membentuk kata sepakat tentang sokongan kepada kerajaan Persekutuan.


"Kita telah berbincang dan sepakat untuk menyokong kerajaan yang akan dibentuk… yang boleh membawa kestabilan negara, khususnya kepada Sabah dan Sarawak.


“Kita akan bawa kerusi yang kita menangi untuk beri sokongan kepada kerajaan yang boleh membawa kepada kestabilan negara," katanya kepada pemberita di kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah di Sri Gaya sini awal pagi ini, lapor Bernama.


Hajiji juga mendakwa GRS dan Barisan Nasional (BN) telah memenangi 13 kerusi Parlimen serta satu kerusi melalui Perikatan Nasional (PN) daripada keseluruhan 25 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di negeri itu.


Ditanya mengenai gabungan mana yang akan disokong sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan Persekutuan, Hajiji berkata pihaknya akan berbincang mengenai perkara itu.


"Apa yang penting kita sebagai blok Borneo akan memilih kerajaan yang bakal dibentuk. Kita tidak boleh nyatakan di sini (yang akan disokong untuk membentuk kerajaan) kerana kita belum mengetahui keputusan penuh (PRU15)," katanya.

Next Post Previous Post