PRU15: Berakhirnya legasi kerusi keluarga Anwar di Permatang Pauh

Nurul Izzah, yang mewakili PH tewas kepada calon PN-PAS, Muhammad Fawwaz Mat Jan dengan majoriti 5,272 undi. Gambar arkib


PERMATANG PAUH— Selapas 40 tahun Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan selepas itu isternya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, akhirnya anaknya, Nurul Izzah menyerahkan kerusi legasi keluarganya kepada  parti lawan.


Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mencipta sejarah apabila kawasan Parlimen tersebut yang menjadi kubu kuat PKR sejak 1982 kini bertukar tangan kepada PAS yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).


Penyandang kerusi itu, Nurul Izzah, yang mewakili Pakatan Harapan (PH) tewas kepada calon PN-PAS, Muhammad Fawwaz Mat Jan dengan majoriti 5,272 undi.


Muhammad Fawwaz memperoleh 37,638 undi sementara Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden PKR, mendapat 32,366 undi manakala calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Zaidi Mohd Said (16,971 undi) dan Mohd Nasir Othman (Pejuang-Putra) meraih 473 undi.


Muhammad Fawwaz, yang juga Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, berkata beliau bersyukur dan berharap dapat merealisasikan janji-janjinya dalam tempoh lima tahun ini.


"Saya ingin meminta maaf jika ada membuat silap sepanjang berkempen dan saya berhasrat untuk menyatupadukan Permatang Pauh. Kita semua bersaudara," katanya kepada pemberita di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) di Bukit Mertajam, di sini, pagi ini, lapor Bernama.


Pada PRU6, April 1982, Anwar, bertanding atas tiket BN, merampas kerusi itu daripada PAS apabila mengalahkan Zabidi Ali dengan majoriti 14,352 undi.


Anwar menyandang kerusi berkenaan sehingga 1999 ketika beliau dipecat sebagai timbalan perdana menteri oleh perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, selain menjalani hukuman penjara selepas berdepan dengan dakwaan rasuah  dan liwat.


Dr Wan Azizah bertanding di kerusi Parlimen berkenaan dan menang pada 1999 (PRU10) dan menyandang kerusi berkenaan sehingga 2008.


Pada 31 Julai 2008, beliau mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Anwar kembali ke Parlimen menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas dibebaskan dari penjara.


Anwar mengekalkan kerusi itu pada 2013, namun statusnya sebagai Ahli Parlimen ditarik balik susulan sabitannya dalam kes liwat, pada 2015.


Dr Wan Azizah kemudian kembali mengambil alih kerusi terbabit dalam PRK selepas itu dan menyandangnya sehingga PRU14 sebelum Nurul Izzah mempertahankan kerusi itu apabila menewaskan Mohd Zaidi (BN-UMNO)  dengan majoriti 15,668 undi.

Next Post Previous Post