PRU15: Manifesto BN tampil ‘PADU’, 99 amal dan usaha kemudi Malaysia ke arah negara maju

Barisan Nasional (BN) melancarkan manifesto dengan menampilkan Perancangan Amal dan Usaha BN, Manifesto BN tampil ‘PADU’, 99 amal
PADU bukan janji manis atau indah, tetapi pelan yang serius dan rasional berpandukan sasaran yang jelas – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR—Barisan Nasional (BN) melancarkan manifesto dengan  menampilkan Perancangan Amal dan Usaha BN atau ringkasnya PADU, jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata PADU merupakan tawaran baharu yang segar atau a new and fresh deal daripada BN kepada rakyat Malaysia, yang mengandungi 99 amal dan usaha BN bagi mengemudi Malaysia ke arah negara maju.


Menyifatkan PADU sebagai bukan janji manis atau indah, Ahmad Zahid berkata PADU merupakan pelan yang serius dan rasional berpandukan sasaran yang jelas.


“PADU bukan tentang pemansuhan dan pengurangan tanggungjawab dalam serba serbi. Ia merupakan pelan yang BN akan amal dan usahakan dengan sebaiknya demi kemaslahatan semua, Insya-Allah,” katanya ketika melancarkan manifesto BN secara dalam talian malam tadi, lapor Bernama.


Antara yang ditawarkan BN menerusi dokumen PADU bertemakan “Kestabilan dan Kemakmuran” ialah:


1. Memperkenalkan skim bantuan pendapatan asas atau Assistive Basic Income dengan mengkreditkan bantuan secara automatik kepada semua isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM2,208.


2. BN akan memberi potongan cukai pendapatan sebanyak dua peratus kepada golongan yang mempunyai pendapatan dalam kelompok M40 dan tergolong dalam kumpulan pembayar cukai antara RM50,000 hingga RM100,000.


3. Menumpukan kepada aspek pendidikan bermula dari pendidikan awal kanak-kanak enam tahun dan ke bawah, peringkat sekolah dan golongan B40 di institusi pengajian tinggi, antaranya menawarkan pendidikan awal nasional percuma, memperkenal sistem persekolahan tanpa buku teks serta memastikan 100 peratus liputan 5G di semua sekolah dalam masa 18 bulan.


4. Meminda Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warganegara asing.


5. Menawarkan penyelesaian isu kelembapan ekonomi dan mengusahakan strategi baharu untuk terus menggandakan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) bagi menjadikan Malaysia destinasi pilihan pelabur.


6. Melakukan reformasi menyeluruh undang-undang dan peraturan imigresen dengan memperkenalkan pelbagai visa bagi menarik pelabur, pekerja mahir ke Malaysia termasuk menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai gergasi ekonomi negara yang baharu. 


7. Menyelesaikan isu ketidakcukupan bekalan makanan, kebergantungan kepada import yang terlalu besar serta sistem rantaian produk makanan yang tidak cekap dan mahal.


8. Membangunkan Hospital Pakar Awam Wanita (HAWA) dan universiti awam wanita pertama di Malaysia.


9. Menetapkan sasaran penggunaan 30 peratus sumber boleh diperbaharui menjelang 2030.


10. Menghapuskan permit import (AP) kenderaan elektrik (EV) bagi meningkatkan akses kepada penggunaan kenderaan mesra alam sekitar yang mampu milik.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.