PRU15: Ismail Sabri, isteri selesai mengundi

Ismail Sabri mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di pusat mengundi SMK Bandar Kerayong
Ismail Sabri dan isteri Datin Seri Muhaini selesai mengundi di SMK Bandar Kerayong di Bera hari ini. Gambar kredit Kosmo

BERA—Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kerayong, di sini pada 10.27 pagi.


Selain beliau, turut mengundi di sekolah itu ialah isterinya Datin Seri Muhaini Zainal Abidin serta beberapa ahli keluarga yang lain.


Perdana Menteri yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Bera dan keluarga yang berpakaian sedondon berwarna biru dan putih, tiba di pusat mengundi itu pada 9.20 pagi.


Bercakap kepada pemberita selepas mengundi, Ismail Sabri berkata beliau berpuas hati dengan proses pengundian di sekolah itu, selain menasihatkan pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka, lapor Bernama.


“Saya menyeru seru semua pengundi untuk keluar mengundi, khususnya pengundi pertama kali…. laksanakan tanggungjawab untuk mengundi dan pilih kerajaan yang tepat untuk memastikan kestabilan serta kemakmuran negara,” katanya.


Pada PRU15, Ismail Sabri yang merupakan penyandang Parlimen Bera sejak tahun 2004 dicabar calon Pakatan Harapan (PH-PKR) Abas Awang dan Datuk Asmawi Harun (PN-Bersatu).


Pada pilihan raya umum tahun 2018, Ismail Sabri menang dengan majoriti 2,311 undi, menewaskan calon PKR Zakaria Abdul Hamid yang memperoleh 18,449 undi manakala calon PAS Musaniff Ab Rahman mendapat 8,096 undi.


Berdasarkan data Suruhjaya Pilihan Raya, seramai 77,669 pemilih berdaftar di Parlimen Bera layak mengundi hari ini.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.