PRU15: 20 peratus keluar mengundi setakat 10 pagi

Pengundi di kawasan pedalaman Baram, Sarawak menaiki perahu untuk menunaikan tanggungjawab pada PRU15. Gambar kredit pengundi

KUALA LUMPUR—Sebanyak 20 peratus pengundi telah menunaikan  tanggungjawab mereka bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setakat 10 pagi ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).


Berdasarkan tinjauan Bernama, proses pengundian setakat ini berjalan teratur di seluruh negara dengan setiap pengundi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan SPR, termasuk yang terbaru, setiap pengundi tidak dibenarkan membawa masuk telefon bimbit ketika mengundi.


Petugas SPR dan keselamatan juga dilihat sedia membantu pengundi di setiap pusat mengundi selain menyediakan pelbagai kemudahan secukupnya untuk melancarkan proses pengundian, termasuk kerusi roda yang digunakan pegawai SPR bagi memudahkan pergerakan warga emas dan orang kurang upaya.


SPR turut menyediakan kenderaan perantara atau 'shuttle' di pusat-pusat mengundi terpilih bagi memberi keselesaan kepada pengundi yang terpaksa memakir kenderaan mereka jauh dari pusat mengundi.

Proses pengundian PRU15 bermula secara rasmi pada 7.30 pagi ini di Sabah, Sarawak dan Labuan manakala di Semenanjung Malaysia bermula 8 pagi.


Turut diadakan serentak ialah pengundian bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bugaya, Sabah yang tertangguh berikutan proklamasi darurat bagi mencegah penularan COVID-19.


Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan untuk PRU15 mengandungi 21,173,638 orang pemilih yang terdiri daripada 20,853,681 orang pengundi biasa, 146,737 orang tentera serta pasangan, 118,794 orang polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan dan 2,741 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Next Post Previous Post