PKR umum 10 calon di Sabah untuk PRU15

Anwar (tengah) bersama calon PKR Sabah yang diumumkan do Putatan.


PUTATAN—PKR mengumumkan calonnya bagi 10 kerusi Parlimen di Sabah atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 Nov ini.


Calon tersebut termasuk Ketua Cabang Tawau merangkap Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew mempertahankan kerusi Parlimen Tawau dan Naib Presiden PKR, Awang Husaini Shari mempertahankan kerusi Parlimen Putatan, lapor Bernama.


PKR juga mengemukakan calon baharu iaitu Ketua Penerangan PKR Cabang Ranau, Apirin Jahalan Taufik Sham bagi kerusi Parlimen Ranau, yang pada PRU14 dimenangi Datuk Jonathan Yasin atas tiket PKR sebelum menyertai Bersatu.


Calon PKR lain ialah Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Saba,h Sangkar Rasam bagi kerusi Pensiangan; Ketua Cabang PKR Beaufort Dikin Musah (Beaufort), Ketua Cabang Kota Belud, Mustapha Sakmud (Sepanggar), Thonny Chee (Kudat), Madely Modily Bangali (Kota Belud), Arastam Pandorog (Semporna) dan Noraini Abd Ghapur (Kalabakan).


Calon-calon berkenaan menandatangani surat dan bon aku janji parti itu yang disaksikan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, Isnin.


Ditemui pemberita selepas majlis itu, Anwar, yang juga Pengerusi PH, berkata parti komponen dan rakan kerjasama PH telah menyelesaikan pembahagian di hampir kesemua 24 kerusi Parlimen di Sabah, kecuali kerusi Parlimen Kinabatangan yang masih dalam perbincangan.


“Lain (kerusi Parlimen) yang ada perbincangan kita akan putuskan (kemudian)...tiada akan ada masalah," kata Anwar.


 Hari ini, parti komponen PH iaitu Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengumumkan bertanding di lima kerusi Parlimen di Sabah, DAP di tujuh kerusi, manakala MUDA yang mempunyai kerjasama dengan PH mengumumkan bertanding di Kota Marudu.


Semalam, Amanah mengumumkan bertanding di 54 kerusi Parlimen seluruh negara dan satu daripadanya ialah di Sipitang, Sabah.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov ini.

Next Post Previous Post