Warga Malaysia terlepas hukuman mati, dibebaskan Mahkamah Rayuan Singapura


SINGAPURA—Mahkamah Rayuan Singapura membebaskan seorang warga Malaysia G Punithan yang dijatuhi hukuman mati kerana mengedar 28.5g diamorfin ke republik itu, selepas menimbangkan bukti baharu.


Punithan dijatuhi hukuman mati pada Mei 2020, orang pertama dijatuhkan hukuman semasa pandemik COVID-19, melalui pembicaraan jarak jauh.


Dalam siasatan, dia dikenal pasti seorang daripada dua penghantar dadah sebagai dalang dalam transaksi dadah yang berlaku pada 28 Okt 2011, lapor Bernama.


Sebelum itu, Punithan memperkenalkan kedua-dua kurier itu pada 12 Okt 2011 bagi memudahkan transaksi dadah yang akan berlaku di tempat letak kereta West Coast McDonald.


"Dalam rayuan ini, kami tidak mengambil berat tentang peristiwa membabitkan kurier yang berlaku pada 28 Okt 2011," kata Hakim Tay Yong Kwang yang membacakan keputusan mahkamah.

Penghakiman penuh dikeluarkan di laman sesawang mahkamah pada Isnin.


Selain Hakim Tay, kes itu dibicarakan di hadapan Ketua Hakim Negara Sundaresh Menon dan Hakim Andrew Phang.


“Persoalan utama dalam rayuan ini ialah sama ada terdapat mesyuarat tiga pihak pada 12 Okt 2011 kerana itulah kaitan yang didakwa antara perayu dan transaksi dadah melibatkan kurier yang berlaku pada 28 Okt 2011.


“Pihak pendakwaan mendakwa daripada “hasil mesyuarat itulah” kurier menjalankan transaksi dadah tersebut.


"Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab pihak pendakwaan untuk membuktikan tanpa keraguan munasabah bahawa 'pertemuan pengenalan' itu berlaku yang membuktikan niat bersama perayu dan kurier untuk mengedar dadah," kata Hakim.


Menurut Hakim terdapat percanggahan dalam keterangan mengenai tarikh dan masa hari 'mesyuarat pengenalan seperti yang didakwa' itu pada Perbicaraan 2014 dan Perbicaraan 2018 sebelum ini.


Punithan mengemukakan bukti baharu termasuk kenyataan penyiasatan daripada kurier, laporan jejak panggilan syarikat telekomunikasi untuk salah satu telefon kurier, dan rekod pergerakan Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) salah seorang kurier terbabit.


Punithan diwakili pasukan peguam dari K&L Gates Straits Law LLC diketuai Peguam Kanan Narayanan Sreenivasan.

Next Post Previous Post