Petra Jaya berupaya jadi perintis laksana ITS di Sarawak, Fadillah

Fadillah menyempurnakan Majlis Penyerahan MediaPads kepada pelajar yang memerlukan bagi sekolah disekitar Kawasan Tupong, Semariang dan Satok.

KUCHING-- Petra Jaya, yang dikategori sebagai bandar, berupaya menjadi perintis bagi pelaksanaan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) di Sarawak seterusnya mengatasi masalah kesesakan trafik yang dihadapi di kawasan itu ketika ini.


Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pelaksanaan ITS merupakan antara tumpuan beliau dalam aspek penambahbaikan infrastruktur selain pembangunan pendidikan dan peningkatan sosioekonomi penduduk di kawasan Parlimen itu.



“Kita memerlukan perancangan bukan sahaja menambah baik infrastruktur tetapi juga menggunakan teknologi yang boleh menguruskan masalah trafik secara efektif dan efisien.



“Petra Jaya berada dalam kawasan bandar jadi kos sara hidup tinggi dan kita nak bantu penduduk khususnya di kawasan ini untuk meningkatkan pendapatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan 77 unit tablet sumbangan Huawei Technologies Sdn Bhd kepada pelajar daripada keluarga B40 di sini hari ini.


Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya sejak 2004 itu berkata beliau akan meneruskan usaha menerapkan minat generasi muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik  (STEM) bagi mencapai Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak. 

Next Post Previous Post