PDRM jamin siasatan telus kes khianat poster, bendera parti politik


KUALA LUMPUR—Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan akan melakukan siasatan telus berhubung kes khianat mengoyakkan poster, buang bendera parti politik dan lain-lain kesalahan sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.


Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata kes-kes berkenaan bukanlah pertama kali berlaku malah pernah dilaporkan dalam pilihan raya umum yang diadakan sebelum ini.


Namun kali ini, kes khianat dalam PRU15 ini adalah berskala kecil, tidak ketara serta masih terkawal, katanya lapor Bernama.


“Kami (PDRM) akan menjalankan siasatan telus tanpa mengira sebarang parti politik yang melakukan kesalahan khianat pada PRU15 ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau dan mengundi di Bukit Aman, di sini hari ini.


Mengenai atur gerak trafik untuk melancarkan perjalanan pengundi pulang mengundi di kawasan masing-masing sempena PRU15, Acryl Sani berkata PDRM akan mengerakkan anggota polis trafik di lokasi strategik di seluruh negara.


“Kerajaan telah umumkan cuti pelepasan pada 18 dan 19 Nov untuk pergerakan orang ramai balik mengundi di kawasan masing-masing untuk mengundi. PDRM akan membuat persediaan awal mengatur gerak anggota trafik bagi mengawal lalu lintas agar tidak berlaku kemalangan,” katanya.


Semalam, kerajaan mengumumkan 18 dan 19 Nov sebagai hari kelepasan am bagi memudahkan urusan pengundi menunaikan tanggungjawab PRU15.


Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata cuti pada Sabtu, 19 Nov turut diberikan kerana terdapat kemungkinan syarikat-syarikat swasta, terutamanya kilang yang tidak tutup pada hari berkenaan, menyebabkan pekerja mereka tidak boleh mengundi.

Next Post Previous Post