Kompleks pentadbiran 16 tingkat bukti pembangunan di pedalaman Sarawak, Abang Jo

Kompleks Pentadbiran Bersepadu Tanjung Manis


TANJUNG MANIS — Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak Daerah Tanjung Manis merupakan insiatif kerajaan yang inklusif dalam meneruskan agenda pembangunan kawasan luar bandar.


Premier Sarawak Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pusat ini akan menjadi infrastruktur yang penting sebagai pemudah penyampaian perkhidmatan bagi rakyat di Tanjung Manis.


Abang Johari melihat pelan replika Kompleks Pentadbiran Bersepadu Tanjung Manis selepas pelancarannya hari ini.


“Saya gembira kerana a merupakan infrastruktur yang penting sebagai pemudah penyampaian perkhidmatan bagi rakyat di Tanjung Manis. ia adalah sebagai mercu tanda penting permulaan perkembangan bandar baru di sini.


Selain menepati keperluan semasa, rekabentuk dan ciri pusat perkhidmatan setempat ini menyediakan perkhidmatan sokongan yang lain serta pusat data sekaligus pemangkin kepada ekonomi digital,” katanya berucap merasmikan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak Daerah Tanjung Manis hari ini.


Bangunan ikonik setinggi 16 tingkat yang menelan kos RM83 juta ini adalah sebahagian daripada pelan pembangunan di Tanjung Manis.


Ia menyediakan pusat pentadbiran sehenti yang menempatkan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan antaranya Pejabat Daerah, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Sarawak Foresty Corporation (SFC) dan Perbadanan Pembangunan Industri Kayu Sarawak (STIDC), pejabat pos dan bank.


Bangunan ini akan memudahkan penduduk kampung mendapat pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung berbanding sebelum ini berulang alik ke Sarikei, Mukah atau SIbu untuk berurusan dengan pejabat kerajaan.


Abang Johari menambah, kerajaan akan terus memfokus kepada transformasi sosial agar rakyat termasuk di Tanjung Manis menikmati taraf hidup berkualiti dan sihat secara inklusif.


Hadir sama calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) selaku penyandang bagi kerusi Tanjung Manis Yusuf Abd Wahab.

Next Post Previous Post