Notification

×

Iklan

Iklan

Pengundi positif Covid-19 diasingkan, proses mengundi dilakukan cepat - SPR

| November 15, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-15T04:58:52Z


PUTRAJAYA—Individu positif COVID-19 yang mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)  akan diasingkan daripada pengundi lain bagi mengelak risiko penularan.


Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  Dr Azmi Sharom berkata selain itu SPR juga akan memastikan proses mengundi bagi pengundi positif COVID-19 di pusat pengundian di seluruh negara, akan dilakukan dengan cepat.


Beliau berkata mereka yang positif perlu memaklumkan kepada pegawai Kementerian Kesihatan mengenai status kesihatan sebelum hadir ke pusat mengundi, lapor Bernama.


“Mereka (KKM) akan asingkan pengundi positif dan anda akan undi dengan cepat dan kita juga akan asingkan anda daripada pengundi lain,” katanya mengulas mengenai proses mengundi untuk individu positif COVID-19 pada hari undi awal hari ini dan pengundian PRU15 pada 19 Nov.


Beliau yang ditemui pemberita selepas meninjau proses undi awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini berkata proses undi awal di tempat itu berjalan dengan lancar.


“Semua nampak berjalan lancar jadi ia petanda yang baik, ramai orang keluar, kita akan buka (pusat undi awal) sampai pukul 5 petang…harap semua akan ok,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata seorang anggotanya disahkan positif COVID-19 dan telah diarahkan mengundi pada sebelah petang. 


“Kita telah jelaskan untuk datang petang kerana kalau waktu pagi agak sesak,” katanya menambah proses undi awal di IPD Putrajaya ketika ini berjalan lancar.


Seramai 1,386 pengundi awal Parlimen Putrajaya terdiri daripada anggota polis dan tentera menunaikan tanggungjawab mengundi di dua pusat pengundian di IPD Putrajaya dan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) di sini bermula 8 pagi hari ini.


Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata individu positif COVID-19 yang akan mengundi pada PRU15 wajib memakai pelitup muka manakala pemakaian pelitup muka bagi pengundi lain adalah amat digalakkan.


Selain itu, Dr Noor Hisham memaklumkan pengundi positif COVID-19, tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam termasuk perkhidmatan e-hailing.

×
Berita Terbaru Update