Kota Samarahan ke arah sebuah metropolis- Abang Johari

Gambar | Teks Pejabat Premier Sarawak

KUCHING—Kota Samarahan akan menjadi sebuah metropolis apabila semua perancangan untuk menjadikan kawasan tersebut sebuah pusat keilmuan, penyelidikan dan perubatan menjadi kenyataan, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg.


Ketika ini Kota Samarahan dengan keberadaan institusi seperti UNIMAS, UITM, Pusat Penyelidikan Tanah Gambut Tropika ( TROPI) dan Pusat Jantung sudahpun menunjukkan kawasan tersebut akan mencapai tahap pembangunan yang lebih pesat dalam tempoh tujuh tahun lagi, ujar beliau.


Gambar | Teks Pejabat Premier Sarawak


Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Ulang ke-6 Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) pada semalam.


Jumlah penduduk Kota Samarahan juga meningkat kerana ramai yang bekerja di bandaraya Kuching membeli rumah kediaman di kawasan tersebut sehingga menimbulkan permasalahan laluan trafik, kata beliau.


Sekarang ini tindakan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas sedang dilaksanakan dengan kerja-kerja naik taraf dan pemasangan lampu isyarat untuk beberapa bulatan sepanjang jajaran Kuching/Kota Samarahan yang dijadualkan siap pada tahun hadapan, tambah beliau lagi.


Abang Johari berkata, berkata juga Pusat Penyelidikan Penyakit-Penyakit Berjangkit (SIDC) juga akan ditempatkan di Kota Samarahan.


Beliau menjangkakan ramai ahli penyelidik akan ditempatkan di pusat tersebut termasuk ahli-ahli penyelidik antarabangsa.


Di samping itu, kerajaan negeri akan membina sebuah hospital kanser juga di Kota Samarahan dengan kos hampir RM1 bilion, kata beliau kepada para tetamu pada majlis tersebut.


Sebelum ini beliau pernah berkata hospital tersebut akan dilengkapkan dengan peralatan yang tercanggih dan diwujudkan program “wellness” untuk menjadikannya pusat rawatan kanser yang ulung di rantau ini dan tarikan kepada pelancongan perubatan dan kesihatan.


Mengenai perancangan jangka panjang untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan Kota Samarahan beliau berkata jajaran jalan raya baharu akan dibina untuk menyuraikan trafik ke kawasan lain seperti Sejingkat.


Jambatan menyeberangi Sungai Sarawak di Sejingkat sedang dibina dan sebuah laluan akan menyalurkan lalulintas ke kawasan Sejingkat dan satu lagi laluan “bypass” terus ke kawasan Asajaya hingga ke Sebuyau, jelas beliau.


Beliau juga menyatakan sebuah pelabuhan baharu yang diintegrasikan dengan pembangunan industri akan dibina di Tanjung Embang di muara Sungai Sarawak sebagai strategi jangka panjang untuk merancakkan lagi pembangunan di sekitar Kuching.


Turut hadir isteri Premier, Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah dan isteri dan ADUN-ADUN. 


Turut berucap terdahulu ialah Pengerusi MPKS, Dato Peter Minos.

Next Post Previous Post