Cuti khas 18 Nov tidak perlu dilaksanakan di Sarawak - Abang Johari

Abang Johari ketika sidang media selepas menghadiri majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang di Lingga, hari ini.

LINGGA—Pemberian cuti umum khas pada 18 Nov ini bagi menggalakkan rakyat mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak perlu dilaksanakan di Sarawak memandangkan ia bukan perkara yang mendesak dan boleh menjejaskan ekonomi.


Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sebagai sebuah kerajaan yang rasional, Kerajaan Sarawak perlu mengambil kira kesan ekonomi dan tahap produktiviti di negeri ini sebelum mengambil sebarang langkah untuk melaksanakan cuti umum khas itu, lapor Bernama.



“Saya fikir tidak wajar ia dilaksanakan kerana apa yang berlaku akan menjejaskan ekonomi, produktiviti kita akan menurun, majikan perlu bayar gaji berganda untuk pekerja.


“Saya pertimbangkan secara rasional kerana saya tahu apa kesannya, memanglah semua orang suka bercuti,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang di sini, hari ini.


Pada 7 Nov, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kerajaan mengisytiharkan cuti umum khas itu dan pada Selasa lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata cadangan itu akan dipertimbangkan.


Sementara itu, Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak mempunyai perancangan jangka panjang dalam usahanya untuk membangunkan kawasan luar bandar seperti Lingga.


Katanya antara pembangunan yang melibatkan kos besar itu adalah pembinaan Jambatan Batang Lupar yang menghubungkan kawasan Sebuyau-Lingga, pembinaan jambatan-jambatan kecil serta jalan-jalan raya yang menghubungkan pekan Lingga ke kawasan-kawasan strategik di Sri Aman.


Beliau berkata sektor pertanian di Lingga mempunyai potensi yang sangat besar, justeru kerajaan negeri menerusi Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) akan terus merancang pelbagai pembangunan yang diperlukan rakyat.


“SADA yang dipengerusikan oleh bekas Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim ini turut melibatkan semua wakil rakyat di Parlimen Batang Lupar bagi bersama-sama mengkoordinasikan pembangunan di bahagian ini.


“Dalam pembangunan yang menyeluruh ini, kita nampak kawasan Banting dan sekitarnya (berdekatan Lingga) juga boleh menjadi lokasi keselamatan makanan. Untuk menggerakkan sektor itu, kita mahu pembangunan infrastruktur menyeluruh walaupun melibatkan kos tinggi dan menggunakan dana sendiri,” tambahnya.

Next Post Previous Post