Kemenangan 31 kerusi GPS jadikan 'Suara Sarawak' lebih kuat- Sim

‘Feng Shui akan beredar' bermakna semua orang akan mempunyai masa mereka, ini adalah masa Sarawak untuk bangkit mengatasi semua - Dr Sim 

KUCHING—Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP),  Datuk Sri Dr Sim Kui Hian meminta pengundi di Sarawak bijak membuat pilihan ketika hari pembuangan undi pada 19 November ini.


Menurutnya, adalah penting bagi menjamin 31 kerusi yang ditandingi dimenangi Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menentukan kerajaan selepas ini dan suara Sarawak lebih kuat. 



Bercakap kepada 800 tetamu di Majlis Makan Malam Perpaduan malam tadi yang dianjurkan oleh SUPP cawangan Kuching di sebuah restoran, Dr. Sim berkata, masa depan negara kini terletak di tangan rakyat Sarawak. 


"Seperti yang biasa orang Cina katakan, ‘Feng Shui akan beredar' bermakna semua orang akan mempunyai masa mereka, ini adalah masa Sarawak untuk bangkit mengatasi semua.



"Perpaduan politik Sarawak yang menjadikan kita kuat dan stabil berbanding Semenanjung Malaysia," ujarnya.


Beliau berkata, situasi di Semenanjung Malaysia memberikan Sarawak kelebihan untuk menjadi ‘king maker’ kerana politik Sarawak tidak pernah huru-hara atau kucar-kacir seperti mereka. 



"Sarawak mempunyai kestabilan politik di bawah GPS, kesemua 31 kerusi itu mesti dimenangi termasuk Bandar Kuching dan Stampin supaya pendidikan dan kesihatan dapat kembali termasuk faedah lain. 


Menyalahkan pembangkang atas pembohongan mereka, Dr Sim berkata bahawa mungkin bukan UMNO yang akan menjadi kerajaan hari ini. 


“Pada 19 haribulan ini, siapa tahu siapa yang akan jadi kerajaan? Ia mungkin tidak semestinya UMNO. Tetapi siapa pun kerajaan memerlukan GPS. 


"Ketika itulah kita boleh duduk berbincang dengan mereka untuk memutuskan siapa yang patut menjadi kerajaan. Kami perlu menang dahulu, jika tidak, kami tidak akan mempunyai kuasa seperti itu,” katanya. 


Beliau berkata, ketika berada di Batu Kawa lima tahun lalu, pembangkang dan beberapa orang menyindirnya bertanyakan bagaimana dan apa yang boleh dilakukannya untuk Batu Kawah. 


“Hari ini, saya dengan bangganya boleh katakan tanpa saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) di Batu Kawa, anda tidak akan melihat perkembangan sebegitu di bawah Pembangkang. Jadi untuk mengundi semua calon SUPP ke Parlimen, anggap saja ia sebagai mengundi saya, Dr. Sim,” tambahnya.

Next Post Previous Post