Notification

×

Iklan

Iklan

Sindiket penyeludupan 12 warga Indonesia didalangi pegawai Imigresen tumpas

| November 07, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-07T12:55:44Z
Baharuddin berkata pihaknya sedang mengesan pegawai yang dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan itu dan menjelaskan tindakan tegas akan diambil.

JOHOR BAHRU— Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor mematahkan cubaan menyeludup 12 warga asing dengan menahan dua lelaki tempatan semasa pemeriksaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini pagi tadi.


Pengarah JIM Johor Baharuddin Tahir berkata dua lelaki berumur 52 dan 24 tahun itu dipercayai menjadi transporter atau pengangkut bagi sindiket penyeludupan itu, lapor Bernama.


Beliau berkata sembilan lelaki dan tiga wanita warga Indonesia berusia 25 hingga 40 tahun itu menaiki Perodua Alza dan Toyota Vios dari Singapura yang dipandu dua lelaki terbabit, ditahan di laluan masuk kenderaan di CIQ itu pada 7.20 pagi.


“Tangkapan ini ialah hasil maklumat daripada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang ketika itu sedang melakukan pemeriksaan barangan dan pasport.


“Semasa pemeriksaan, pihak kastam mendapati tiada cop masuk daripada imigresen di pasport mereka, lalu dirujuk semula kepada pihak JIM sebelum kesemuanya ditahan,” katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.


Beliau berkata hasil siasatan mendapati 10 warga asing yang ditahan terdapat dalam senarai syak dan dilarang memasuki Malaysia atas pelbagai kesalahan serta pernah disiasat di bawah Seksyen 6 (1) C Akta Imigresen 1959/63 dan diusir dari negara ini.


“Dua lagi warga Indonesia tiada dalam senarai syak, namun berada di dalam kenderaan yang sama.


“Siasatan awal mendapati kesemua warga asing itu mendakwa telah membuat bayaran sebanyak 10 juta rupiah bersamaan dengan RM3,000 kepada tekong yang menguruskan kemasukan mereka ke Malaysia,” katanya.


Baharuddin tidak menafikan kemungkinan pegawai imigresen terlibat dalam sindiket itu kerana mustahil mereka boleh melepasi kaunter imigresen memandangkan warga asing yang dibawa juga berada dalam senarai syak dan dilarang memasuki Malaysia.


Justeru, beliau berkata pihaknya sedang mengesan pegawai yang dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan itu dan menjelaskan tindakan tegas akan diambil.


Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 55A (1) Akta Imigresen, katanya. 

×
Berita Terbaru Update