7 lelaki mengaku salah khianat terbalikkan kereta

Tujuh individu termasuk empat penghantar makanan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan melakukan khianat dengan merosakkan dan menterbalikkan sebuah Perodua Myvi, Khamis lalu. Gambar kredit Kosmo.

JOHOR BAHRU—Tujuh lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan sebuah kereta di persimpangan sebuah stesen minyak di Kota Masai, Pasir Gudang, Khamis lalu.


Muhammad Adam Abd Rahim,18; Mohammad Hairul Hasraf Seeni Abdul Cader, 22; Morrison Malvin Anak Mada, 19; Shaikh Al Amin Idrus, 21; Nur Khairul Amal Abdul Harsir, 19; Daniel Haziq Syikhanna, 21; dan Romir Rahim, 41; mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara serentak, lapor Bernama.


Mengikut pertuduhan, ketujuh-tujuh tertuduh secara bersama-sama didakwa melakukan perbuatan khianat itu dengan merosakkan kesemua cermin dan pintu kereta dengan cara menumbuk, menendang, menghentak dengan menggunakan topi keledar, membaling batu serta menterbalikkan kereta jenis perodua Myvi milik Tan Jing Hui, 21, sehingga menyebabkan kerugian dengan anggaran sebanyak RM15,000.


Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin menetapkan tarikh 18 Dis depan untuk sebutan semula bagi fakta kes dan untuk jatuh hukum.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di persimpangan stesen minyak Petronas Kota Masai 2, Jalan Nenas Kota Masai di sini pada pukul 9.40 malam, 3 Nov.


Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.


Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqiilah Ahmad Rofai menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin setiap seorang beserta syarat tambahan iaitu tidak menganggu mangsa dan saksi serta perlu melapor diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali.


Bagaimanapun, kesemua tertuduh yang tidak diwakili, memohon jaminan dikurangkan kerana empat dari mereka bekerja sebagai penghantar makanan, seorang pembaiki mesin basuh, seorang lagi sebagai peniaga topi manakala seorang lagi ialah pelajar.


Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 bersama seorang penjamin setiap seorang serta syarat tambahan tidak menganggu mangsa, saksi kes serta perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali.


Sebelum ini, tular di media sosial beberapa video memaparkan sekumpulan lelaki merosakkan sebuah kereta dipercayai Perodua Myvi berhampiran sebuah stesen minyak.


Kekecohan itu berlaku dipercayai selepas kemalangan jalan raya antara sebuah kereta dan sebuah motosikal penghantar makanan.

Next Post Previous Post