Dua beranak antara tujuh ditahan edar dadah

Dua beranak antara tujuh individu ditahan, Dua beranak antara tujuh individu terlibat dalam sindiket pengedaran dadah 
Datuk Kamarul Zaman semasa sidang media penangkapan tujuh individu dan rampasan dadah keseluruhan berjumlah RM542,674 di sini hari ini. Gambar Polis Johor

JOHOR BAHRU— Dua beranak antara tujuh individu ditahan selepas disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dalam beberapa serbuan di sekitar bandar raya ini pada 3 dan 4 Nov lepas.


Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata lelaki berusia 47 tahun yang dipercayai dalang sindiket itu dan anak lelakinya berusia 17 tahun ditahan secara berasingan bersama lima yang lain di sekitar Taman Pelangi, Ulu Tiram dan Pelangi Indah, di sini.



“Kesemua tujuh individu itu merupakan warga tempatan yang terdiri daripada empat lelaki, seorang remaja lelaki dan dua remaja perempuan berusia antara 17 hingga 47 tahun.


“Polis turut merampas 216 kilogram ganja bernilai RM540,257, 13.11 gram ketamin bernilai RM1,966 dan 30 biji pil ekstasi bernilai RM450 dengan keseluruhan rampasan dadah berjumlah RM542,674,” katanya pada sidang media di sini hari ini, lapor Bernama.


Beliau berkata modus operandi sindiket itu adalah mendapatkan bekalan dadah dari negeri utara dengan menggunakan perkhidmatan kurier.


Menurut Kamarul Zaman, sindiket yang dipercayai aktif sejak Ogos lepas itu didapati menyewa dua rumah dengan satu daripadanya dijadikan stor penyimpanan dadah manakala aktiviti pembungkusan dilakukan di pangsapuri sebelum dadah diedar di negeri ini.


Beliau berkata selain dadah, polis turut menyita dua kereta, sebuah motosikal dan wang tunai RM5,000.


Katanya hasil saringan air kencing mendapati enam daripada mereka positif terhadap dadah jenis THC dan methamphetamine manakala seorang daripada mereka juga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.


Kesemuanya kini direman hingga 11 Nov ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.