Kembalikan Parlimen Bandar Kuching kepada GPS, beri saya peluang - Eric Tay

Eric Tay pada sidang media ketika pelancaran manifestonya di sini hari ini.

KUCHING—Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Bandar Kuching, Eric Tay Tze Kok,44, meminta pengundi di kawasan itu mengembalikan kerusi berkenaan kepada GPS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.


Beliau berjanji akan membawa pembangunan dan harapan baharu untuk Parlimen Bandar Kuching dalam tempoh lima tahun akan datang yang  merupakan antara intipati manifestonya.


"DAP sudah memenangi dan menguasai kerusi Bandar Kuching selama empat penggal berturut-turut.


"Namun, anda sendiri boleh melihat tiada sebarang perubahan berlaku," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menjelas lanjut, katanya, selama 18 tahun bandar ini bukan sahaja gagal untuk membangun, tetapi sebaliknya semakin merosot dan tidak mencapai taraf perkembangan terkini.


“PRU-15 merupakan masa untuk memilih sekali gus sebagai detik penting kebangkitan kerana Kuching merupakan ibu negeri Sarawak, pusat politik, ekonomi, kewangan, budaya, pendidikan serta mempunyai populasi bangsa Cina terbanyak," ujarnya.


Katanya, sembilan manifesto tersendiri akan difokuskan untuk parlimen tersebut sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat.


“Ia termasuk merancang semula dan menaik taraf jalan raya bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas, menyelesaikan masalah banjir kilat, menaik taraf klinik kerajaan dan membina dewan serba guna.


“Kemudian berusaha membina rumah penjagaan warga emas, sakit dengan harga yang berpatutan serta banyak lagi,” jelasnya.


Eric merayu kepada pengundi di Parlimen tersebut untuk memberinya peluang berkhidmat sebagai wakil rakyat dalam tempoh lima tahun ini sekali gus merealisasikan visi membina Kuching baharu.


"Saya akan bersuara di Parlimen tanpa gentar dan tidak mementingkan diri sendiri, serta demi kebaikan Sarawak dan Bandar Kuching, saya akan cuba sedaya upaya berjuang untuk rakyat," jelasnya.

Next Post Previous Post