Kabinet bayangan pembangkang tular hanya perang psikologi

Poster barisan Kabinet bayangan yang tular sejak semalam, menyenaraikan pemimpin daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang kononnya adalah kerajaan perpaduan gabungan dua parti terlibat.

BERA— Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan poster barisan Kabinet bayangan yang tular di media sosial hanya perang psikologi yang dijalankan pihak lawan.


Menganggap tindakan pihak lawan itu kerana tidak mempunyai 'produk' untuk dijual kepada pengundi, Ismail Sabri berkata beliau tidak akan menggunakan taktik sedemikian dalam usaha memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


"Terserah kepada dialah (lawan), dia nak keluarkan Kabinet bayangan ke? Saya tidak keluarkan Kabinet bayangan kerana tumpuan saya adalah untuk menang pilihan raya,” kata beliau pada sidang media selepas menghadiri Majlis Semarak Uniti Keluarga Malaysia di Dataran Kerayong di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Perpaduan Datuk Halimah Mohamed Sadique.


Beliau berkata demikian semasa ditanya mengenai poster barisan Kabinet bayangan yang tular sejak semalam, menyenaraikan pemimpin daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang kononnya adalah kerajaan perpaduan gabungan dua parti terlibat.


Sehubungan itu, Ismail Sabri berharap pengundi tidak terpengaruh atau keliru dengan propaganda tersebut, sebaliknya mendengar penjelasan daripada BN yang berasaskan fakta, melihat rekod pencapaian serta manfaat yang akan dibawa BN jika terus menerajui pentadbiran negara.


Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata pandangan sekumpulan 70 profesor Melayu dikenali sebagai G70 yang dikatakan menyokong pihak tertentu dalam PRU15, tidak mewakili Majlis Profesor Negara (MPN) secara keseluruhan.


Menurutnya, Presiden MPN Prof Datuk Dr Raduan Che Ros telah menyatakan pandangan itu tidak mewakili keseluruhan profesor di negara ini.


"Biasalah dalam mana-mana pertubuhan mesti ada yang menyokong dan ada yang tidak menyokong, tetapi ia tidak mewakili keseluruhan MPN malah mereka juga menafikan kenyataan (yang dibuat G70) itu mewakili MPN," katanya.


Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi kenyataan semalam turut menafikan sebarang penglibatan dengan penganjuran sidang media khas Deklarasi Profesor Melayu G70, serta memaklumkan kenyataan kumpulan itu bukan representasi rasmi kakitangan akademik atau profesor. 

Next Post Previous Post