Notification

×

Iklan

Iklan

Ismail Sabri, Zahid Hamidi pertahan Parlimen masing-masing

| November 02, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-02T00:32:15Z
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga, kanan) bersama Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada majlis Pengumuman Calon-calon BN bagi PRU15 malam tadi. Gambar kredit FB BN

KUALA LUMPUR— Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dicalonkan Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing di Bagan Datuk dan Bera pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN pada majlis pengumuman calon BN malam tadi, turut mengumumkan Timbalan Presiden UMNO yang Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai calon BN bagi kerusi Rembau, Negeri Sembilan, lapor Bernama.


Beliau turut mengumumkan dua lagi calon daripada kalangan ‘Top 5’ UMNO iaitu Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai calon untuk mempertahankan kerusi Parlimen Padang Terap, Kedah manakala Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan bertanding di Kota Tinggi, Johor.


Top 5 merujuk kepada presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden.


Ahmad Zahid mengumumkan Setiausaha Agung BN yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dicalonkan untuk bertanding di Parlimen Lumut.


Beliau turut mengumumkan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong untuk mempertahankan Parlimen Ayer Hitam, Presiden MIC Tan Sri SA Vickneswaran dicalonkan untuk bertanding di kerusi Sungai Siput dan Ketua Pemuda UMNO Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki sebagai calon di Parlimen Gerik.


Beliau juga mengumumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Rembau, untuk bertanding di kerusi Sungai Buloh, Selangor.


Ketua Puteri UMNO Kelantan Marzuani Adila Ariffin pula dicalonkan untuk bertanding di Parlimen Ketereh, Kelantan bagi menggantikan penyandangnya Tan Sri Annuar Musa.


Pada malam tadi, Ahmad Zahid mengumumkan 160 calon yang akan bertanding kerusi Parlimen di Semenanjung, manakala calon bagi 25 kerusi Parlimen di Sabah akan diumumkan hari ini.


Ketua Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan dicalonkan untuk bertanding di Padang Besar bagi menggantikan penyandang Datuk Zahidi Zainul Abidin, manakala Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Noraini Ahmad dicalonkan untuk mempertahankan Parlimen Parit Sulong.


Ahmad Zahid turut mengumumkan Datuk Seri Razali Ibrahim yang pada PRU14 bertanding di Parlimen Muar, dicalonkan untuk bertanding di Pagoh manakala Ketua Pemuda UMNO Muar Mohd Helmy Abdul Latif sebagai calon BN di kerusi Muar.


 Beliau juga menampilkan beberapa calon yang tewas pada PRU14 untuk bertarung di kerusi yang pernah disandang mereka, termasuk Datuk Seri Liow Tiong Lai (Bentong) dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Jerai) dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Titiwangsa).


Bekas Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan yang sebelum ini pernah menyandang Parlimen Hulu Selangor pada PRU13, dicalon semula untuk bertanding di Parlimen Port Dickson.


Ahmad Zahid turut menurunkan calon penyandang kerusi Parlimen untuk mempertahankan kerusi masing-masing termasuk Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang), Datuk Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya), Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian) dan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein (Sembrong).


Turut tersenarai sebagai calon BN ialah veteran UMNO iaitu Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, untuk mempertahankan kerusi Gua Musang.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.

×
Berita Terbaru Update