Notification

×

Iklan

Iklan

GPS mahu kerajaan Persekutuan yang stabil, pacu pertumbuhan ekonomi, Abang Johari

| November 15, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-15T02:22:21Z
Gambar kredit Pejabat Premier Sarawak

SELANGAU— Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahukan sebuah Kerajaan Persekutuan yang stabil bagi membawa kemakmuran dan kestabilan negara, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi.


Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kestabilan negara amat penting bagi membolehkan Malaysia, yang mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 14.2 peratus pada suku ketiga 2022, untuk meneruskan momentum pertumbuhan ekonomi lebih kukuh.


Ismail Sabri Yaakob bersalaman dengan Abang Johari yang menyambut ketibaanya untuk merasmikan Projek Seksyen Selangau bagi Lebuhraya Pan Borneo Sarawak di Selangau.


Beliau berkata pada masa ini Sarawak yang giat menerokai sektor ekonomi baharu menerusi kekayaan sumber dimilikinya, memerlukan kerjasama erat antara kerajaan negeri yang diterajui GPS dengan kerajaan pusat.


"Mesti ada kerjasama Kerajaan Persekutuan dengan kita (GPS), tapi kita mesti beri kerusi yang banyak untuk tolong KL (Kuala Lumpur) kerana Kerajaan GPS berkehendakkan Kerajaan Persekutuan yang stabil.


"Dan kita harap YAB (Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dapat membentuk kerajaan yang stabil selepas pilihan raya ini," katanya semasa berucap pada majlis perasmian Projek Seksyen Selangau bagi Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, lapor Bernama.


Pembukaan lebuh raya di bahagian tengah Sarawak itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sedang dalam rangka lawatan ke Sibu.


Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata, pertumbuhan KDNK itu adalah petanda baik untuk Kerajaan Persekutuan dan ia harus disokong rakyat tanpa mengira kaum dan agama.


Sementara itu Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata fasa pertama Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sepanjang lebih 786km merentasi kepulauan Borneo itu hampir siap sepenuhnya.


Bermula pada Oktober 2015, pembinaannya meliputi 11 pakej kerja, dengan enam jajaran telah siap dan digunakan oleh orang ramai.


"Status kemajuan keseluruhan terkini pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bagi baki 10 pakej kerja iaitu dari Sematan ke Miri yang sedang giat dilaksanakan adalah sebanyak 89 peratus dengan jangkaan siap tahun depan," katanya.


Seksyen Selangau sepanjang 27km dari Jambatan Sungai Kua sehingga Jambatan Sungai Arip mula dibina pada 1 Nov 2016 dengan kos RM588 juta, dibuka secara rasmi oleh Perdana Menteri untuk kegunaan pengguna jalan raya bermula hari ini. 


Projek yang membantu menyuraikan trafik dari Sibu ke Bintulu itu akan menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan sekitarnya iaitu Sibu, Selangau, Mukah dan Balingian dengan akses jalan raya yang lebih baik.

×
Berita Terbaru Update