8,050 anggota polis Sarawak mengundi awal hari ini

Proses pengundian awal di IPK Sarawak hari ini berjalan lancar

KUCHING— Seramai 8,050 orang warga Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Sarawak hari ini menunaikan tanggungjawab mengundi awal sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pengundi terdiri daripada pegawai kanan dan pegawai rendah polis termasuk pasangan masing-masing dan pois Pasukan Gerakan Am seramai 412 orang, melibatkan 82 peratus jumlah kekuatan.



“Manakala bagi undi pos, sebanyak 1,821 bagi PDRM telah mula diproses selepas hari penamaan calon pada 5 Nov yang lalu.


“Sebanyak 55 pusat mengundi awal dengan 103 saluran untuk PDRM telah diwartakan sebagai pusat mengundi awal,” katanya ketika ditemui di dewan mengundi Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sarawak pagi tadi.


Tambah beliau, seramai 3,417 anggota PDRM Sarawak ditugaskan bagi memantau proses pengundian dikesemua pusat mengundi awal tersebut.


Sementara itu pusat dan saluran mengundi PDRM Sarawak termasuk di IPK Sarawak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), rumah-rumah persatuan keluarga polis di PERKEP, bangunan pejabat, pusat-pusat sumber, bilik rekreasi, bilik mesyuarat, surau dan sekolah rendah.


“Bagi pusat mengundi awal P194 Petra Jaya iaitu di Dewan MES Pegawai Kanan IPK Sarawak, terdapat empat saluran yang disediakan yang dibuka sehingga 5 petang.


Sramai 830 pegawai kanan dan pegawai rendah polis akan mengundi awal di sini,” katanya.


Sementara itu Mohd Azman menambah, sebanyak 48 laporan diterima sepanjang tempoh berkempen bermula 5 Nov hingga 14 Nov, dan daripada jumlah tersebut 18 kertas siasatan dibuka.


Manakala bagi semalam, sebanyak lapan laporan diterima dan daripada jumlah dua kertas siasatan dibuka.


“Sebanyak 2,053 permit ceramah telah dikeluarkan kepada calon dan parti yang bertanding di seluruh Sarawak,” katanya sambil menambah semalam sebanyak 279 permit dikeluarkan.


Beliau turut menasihatkan orang awam agar keluar beramai-ramai untuk menunaikan tanggungjawab pada 19 Nov ini.


“PDRM telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi PRU15 bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara dan memberi jaminan ia berjalan lancar.


Bagi calon-calon dan parti politik yang sedang berkempen, patuhilah undang-undang dan garisan panduan yang ditetapkan bagi memastikan pilihan raya berjalan dengan lancar dan selamat,” katanya.

Next Post Previous Post