Notification

×

Iklan

Iklan

Dekatkan ‘nun jauh di sana’, Sarawak bina sendiri Lapangan Terbang Lawas

| November 13, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-13T07:06:56Z
Abang Johari bersama penyandang dan calon Parlimen Lawas, Henry Sum Agung ketika Program Sarawakku Sayang di Lawas baru-baru ini.

LAWAS—“Bagai mendarat terus di pusat bandar” - mungkin itu yang terlintas dalam fikiran penumpang setiap kali pesawat kecil jenis Twin-Otter melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Lawas yang terletak di utara Sarawak.


Berbeza dengan lapangan terbang lain yang lokasinya berada di kawasan lapang serta jauh dari bandar, Lapangan Terbang Lawas hanya terletak kira-kira 1.5 kilometer (km) dari pusat bandar dan landasannya kurang 400 meter dari tebing Sungai Lawas.


Mula beroperasi sejak 1961, Lapangan Terbang Lawas yang merupakan lapangan terbang pendaratan dan pelepasan jarak pendek (STOLPort) kini menyaksikan peningkatan penumpang dan kargo selari dengan perkembangan aktiviti ekonomi di kawasan Lawas yang terletak kira-kira 1,000 km ke utara Kuching.


Namun, lapangan terbang itu kini sering kali berdepan pelbagai masalah termasuk isu landasan dinaiki air sehingga menjejaskan operasi selain bangunan terminalnya yang usang jika dibandingkan dengan spesifikasi semasa, walaupun telah dinaik taraf pada 1996.


Ketiadaan lapangan terbang yang lebih baik adalah antara isu infrastruktur yang menjadi cabaran dalam membangunkan daerah Lawas yang terpisah dari segi geografi dari bahagian-bahagian lain di Sarawak dengan kedudukannya yang bersempadan dengan negeri Sabah selain wilayah Kalimantan, Indonesia serta daerah Temburong, Brunei.


Dalam berdepan dengan cabaran ini, kerajaan Sarawak telah menubuhkan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) pada 15 Mac 2018 bagi merangsang pembangunan ekonomi di daerah Lawas dan Limbang yang keseluruhannya berkeluasan 7,790 km persegi.


NRDA di bawah Pengerusinya yang juga Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, telah mengambil langkah untuk membina sebuah lapangan terbang baharu di kawasan Sundar di sini, yang dianggarkan bernilai kira-kira RM600 juta.


Dijangka siap menjelang akhir 2026, proses pengambilan tanah sedang berjalan dan fasa satu pembinaan lapangan terbang itu dijangka bermula pada suku pertama tahun hadapan.


Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa berucap pada Program Sarawakku Sayang di Lawas baru-baru ini memaklumkan bagi mempercepatkan lagi proses pembinaan lapangan terbang itu, kos pembinaan akan dibiayai sendiri oleh kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum bayaran balik dibuat oleh kerajaan Persekutuan, lapor Bernama.


“Demi untuk kemudahan orang Lawas, kita (kerajaan negeri) akan buat lapangan terbang sendiri. Orang di Lawas sudah tunggu begitu lama (untuk ada lapangan terbang baharu). Kita akan berunding dengan kerajaan pusat nanti untuk mereka bayar balik kos RM600 juta itu,” katanya.


Lapangan terbang baharu itu adalah antara usaha mengintegrasikan kawasan Lawas agar selari dengan pembangunan arus perdana sama seperti kawasan lain di Bumi Kenyalang walaupun Lawas berada ‘nun jauh di utara’, kata Abang Johari.


Selain itu, bagi mengemudi misi membangunkan lagi kedua-dua daerah di utara Sarawak itu, NRDA telah diperuntukkan dana sebanyak RM1.5 bilion untuk mengemukakan satu pelan pembangunan yang komprehensif. 


“NRDA juga akan meneruskan agenda pembangunan termasuk membina sebuah pelabuhan laut dalam di kawasan Pulau Sari serta pembinaan lebuh raya baharu,” kata Abang Johari.


Bagi penyandang kerusi Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, selain lapangan terbang baharu, Lawas sememangnya memerlukan sebuah pelabuhan sebagai tempat persinggahan kapal laut dalam di Pulau Sari.


Henry Sum berkata pelabuhan itu dilihat penting bagi menambah kemudahan terutamanya bagi tujuan membawa barangan tertentu serta muatan besar yang tidak boleh dibawa oleh kapal terbang biasa.


“Masyarakat di Lawas juga memohon agar perkhidmatan kereta api dari Sabah iaitu dari kawasan Sipitang (berada di sempadan Lawas) untuk disambungkan terus ke sini. Saya difahamkan usaha ini masih dalam perbincangan, ini adalah antara projek yang dimahukan penduduk di sini,” katanya.


Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Henry Sum daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Lawas, ditentang calon daripada PKR yang mewakili Pakatan Harapan (PH) Japar Suyut dan Baru Bian daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB).


Dengan pelan pembangunan yang begitu komprehensif direncanakan oleh kerajaan Sarawak menerusi NRDA, landskap Lawas sudah pastinya bakal berubah dalam tempoh beberapa tahun lagi.

×
Berita Terbaru Update