Notification

×

Iklan

Iklan

Bayi, ibu cedera dihempap pokok ru ketika berkelah di pantai

| November 13, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-13T03:44:21Z

MELAKA—Seorang bayi lelaki berusia setahun lima bulan dan ibunya cedera selepas dihempap sebatang pokok ru yang tumbang ketika berkelah di Pantai Puteri, Tanjung Kling dalam kejadian 6.30 petang semalam.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Tuminah Kadi berkata semasa kejadian, kedua-dua mangsa sedang duduk di kawasan berkenaan dengan bayi tersebut sedang didukung oleh ibunya manakala dua lagi anaknya serta suami sedang mandi-manda di pantai, lapor Bernama.


"Tiba-tiba sebatang pokok ru tumbang menghala ke laut menyebabkan ranting dan dahan pada bahagian tengah pokok menghempap kedua-dua mangsa. Dahan pokok itu menghempap belakang kepala ibu bayi tersebut menyebabkan mereka tersembam ke pasir.


"Mangsa kemudiannya dibantu oleh orang ramai dengan mengalihkan dahan pokok tersebut termasuk mengorek pasir sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka oleh ambulans," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Ketika kejadian Tuminah bersama calon Barisan Nasional (BN) Tangga Batu Datuk Lim Bang Hong sedang menyantuni pengunjung di sekitar lokasi sebelum dimaklumkan oleh penduduk mengenai kejadian tersebut pada 6.45 petang.


Katanya, bayi tersebut didapati mengalami kesesakan nafas akibat tersembam ke pasir dan setakat ini masih menerima rawatan.


Sementara itu, Tuminah berkata kejadian pokok tumbang bukanlah pertama kali berlaku sebaliknya sudah kerap terjadi memandangkan usia pokok berkenaan sudah melebihi 20 tahun di samping berlaku hakisan pantai. 


Katanya, walaupun kerja-kerja cantasan dilakukan secara berkala oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) namun faktor akar pokok ru yang tidak mempunyai akar tunjang menyebabkan ia tidak kukuh seperti pokok lain.


"Saya sudah meminta MBMB agar menebang sebahagian pokok yang sudah tua dan tidak lagi kukuh bagi mengelakkan kejadian sama berulang.


"Pada masa sama, kita juga bercadang untuk menutup sementara pantai bagi aktiviti perkhemahan memandangkan musim hujan pada ketika ini boleh membahayakan pengunjung," katanya. 


Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh ketika dihubungi berkata bayi berkenaan masih diberi rawatan untuk menstabilkannya  dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. 

×
Berita Terbaru Update