Calon 'langgar' kerjasama GRS-BN, kecoh di Tenom warnai penamaan calon di Sabah

Tangkap layar video kekecohan di Pusat Penamaan di Tenom semalam.

KOTA KINABALU—Calon mencemari kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN), serta kekecohan di Pusat Penamaan Calon di Tenom mewarnai suasana hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Sabah.


GRS dan BN yang menjalin kerjasama dalam mentadbir kerajaan negeri Sabah telah memberi komitmen untuk tidak bertembung sesama sendiri pada PRU15 namun kerjasama itu sedikit terjejas apabila parti komponen gabungan itu bertindak ‘melanggar’ antara satu sama lain di kerusi Parlimen Beluran dan Ranau, lapor Bernama.



Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee dalam mempertahankan kerusi Parlimen Beluran disandangnya lima penggal sejak 1999, bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) bertembung dengan calon BN iaitu bekas Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Benedict Asmat dalam saingan lima penjuru.


Di Parlimen Ranau, bekas ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Ewon Ebin bertanding atas tiket Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), menentang penyandangnya Datuk Jonathan Yasin daripada Bersatu yang bertanding bawah GRS, juga dalam saingan lima penjuru.


Bersatu merupakan parti komponen GRS di Sabah namun parti itu menjadi parti komponen PN di Semenanjung manakala PBRS merupakan parti komponen BN.


Di TENOM, insiden kekecohan berlaku di Dewan DSP Antanom, di sini. berikutan penolakan pencalonan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony.


Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak pencalonan Peter kerana mempunyai kes mahkamah belum selesai, menyebabkan 300 penyokongnya cuba merempuh masuk ke dewan pada kira-kira jam 11.30 pagi.


Insiden itu berakhir jam 2.38 petang setelah perbincangan dengan pihak terlibat dan Peter telah membuat laporan polis berkenaan insiden tersebut selain akan memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi ,Isnin ini berhubung pembatalan borang pencalonannya.


Tenom menyaksikan persaingan lima penjuru antara penyandangnya Noorita Sual (PH-DAP), Jamawi Jaafar (BN-UMNO), Ukim Buandi (Warisan) serta dua calon bebas iaitu Riduan Rubin dan Peggy Chaw Zhi Ting.


Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya yang diadakan serentak dengan PRU15 menyaksikan saingan tujuh penjuru antara Jamil Hamzah daripada Parti Warisan, Abd Aziz Mohd Ibno(BN-UMNO), Arastam Pandorog (PH-PKR), Mohd Hassan Abu Bakar (Pejuang), Nazmawati Walli (PBM), Karil Pg Kuraini (PPRS) dan calon Bebas, Zulfadzli Shi Ahmad.


Kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya Manis Muka Mohd Darah pada November 2020, dan beliau memenangi kerusi DUN itu, yang mempunyai 32,761 pemilih berdaftar, sewaktu Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 dua tahun lepas dengan majoriti 6,005 undi.


SPR sebelum ini telah menetapkan PRK DUN Bugaya pada 16 Jan 2021, namun ditangguhkan susulan proklamasi darurat mencegah COVID-19 pada 12 Dis 2020 yang dibatalkan pada 6 Okt lepas.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post