Notification

×

Iklan

Iklan

PRU15: Politik dinasti semakin ketara

| November 05, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-11T01:19:55Z
Keluarga Lim, Mahathir dan Anwar meneruskan tradisi dengan meletakkan calon keturunan masing-masing untuk bertanding dalam gelanggang pilihan raya kali ini.

KUALA LUMPUR— Bilangan calon yang mempunyai pertalian keluarga begitu signifikan dalam ‘DNA’ Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila sekurang-kurangnya tujuh keluarga didapati bertanding merebut kerusi kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara. 


Pakatan Harapan (PH) iaitu keluarga Anwar, Lim dan Singh sekali lagi meneruskan tradisi dengan meletakkan calon keturunan masing-masing untuk bertanding dalam gelanggang pilihan raya kali ini. 


Seperti yang dijangka, tiga beranak iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil untuk merebut kerusi Parlimen Tambun serta isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Bandar Tun Razak) dan anak Nurul Izzah Anwar di Parlimen Permatang Pauh, lapor Bernama.


Kerusi Permatang Pauh merupakan kubu kuat PKR dan disifatkan kerusi tradisi keluarga Anwar selepas beliau dan isterinya yang merupakan Pengerusi Penasihat PKR memegang kerusi Parlimen itu sejak 1982, termasuk ketika bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).


Nurul Izzah, 42, yang juga Naib Presiden PKR akan mempertahankan kerusi itu dalam pertandingan empat penjuru dengan Datuk Mohd Zaidi Mohd Said, 53, (BN-UMNO), Muhammad Fawwaz Mat Jan, 39, (PN-PAS) dan Mohd Nasir Othman, 64 (Pejuang-Putra).


Pengunduran bekas penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak mengurangkan penyertaan keluarga Lim kerana dua ahli keluarga itu iaitu Lim Guan Eng yang juga Pengerusi DAP Kebangsaan kekal mempertahankan kerusi Parlimen Bagan manakala adiknya Senator Lim Hui Ying akan bertanding merubut kerusi Parlimen Tanjong.


Selain itu, anak-anak kepada bekas Pengerusi DAP mendiang Karpal Singh turut disahkan berentap atas tiket PH iaitu penyandang Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan adiknya Gobind Singh Deo yang berpindah dari Parlimen Puchong ke Damansara. 


Sementara itu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bakal mempertahan kerusi Parlimen Langkawi manakala anaknya Datuk Seri Mukhriz yang merupakan Presiden Pejuang akan bertanding di kerusi Parlimen Jerlun. 


Di Sabah, parti Warisan mencalonkan Presidennya Mohd Shafie Apdal bagi mempertahankan Parlimen Semporna dan adiknya Datuk Yusof Apdal kembali mencuba nasib di kerusi Parlimen Lahad Datu selepas tewas di kawasan terbabit sebagai calon BN pada PRU14. 


Sementara aktivitis Orang Asal Sabah Datuk Vernon Bahanda tampil sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Kudat dan abangnya Datuk Wetron Bahanda yang merupakan Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat bertanding di Parlimen Kota Marudu. 


Perlis pula menyaksikan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim bertanding menggunakan logo PAS bagi mempertahankan Parlimen Arau manakala adiknya, Datuk Ismail  Kassim, penyandang DUN Tambun Tulang kekal bertanding di DUN terbabit sebagai calon BN.


Shahidan yang merupakan penyandang Parlimen Arau tidak dinamakan sebagai calon kawasan itu selepas BN mencalonkan Datuk Rozabil Abd Rahman.

×
Berita Terbaru Update