Notification

×

Iklan

Iklan

“Bukan BN, bukan PN, bukan PH,” Dr Mahathir ulas sedia kerjasama dengan parti dari Sarawak

| November 12, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-12T02:19:14Z
GTA sedia bekerjasama dengan beberapa parti di Sabah dan Sarawak termasuk parti Bebas dengan syarat mematuhi mereka piawaian.

SUNGAI PETANI—Gerakan Tanah Air (GTA) tidak akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusi Penaja GTA Tun Dr Mahathir Mohamad.


Beliau yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata GTA mempunyai pilihan lain sekiranya hendak menjalinkan kerjasama iaitu dengan parti-parti lain di Sabah dan Sarawak serta wakil rakyat Bebas, lapor Bernama.


"Ada pilihan tapi bukan yang tiga yang saya sebutkan tadi. Bukan BN, bukan PN, bukan PH.


"Terdapat beberapa parti di Sabah dan Sarawak dan beberapa parti termasuk di Semenanjung, malah dengan Bebas, yang kita boleh bekerjasama jika mereka mematuhi piawaian kita," katanya pada sidang media selepas program rapat umum GTA di sini malam tadi.


Turut hadir isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Timbalan Presiden Pejuang Datuk Marzuki Yahya, yang juga calon GTA di Parlimen Sungai Petani.


GTA merupakan pakatan empat parti politik iaitu Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) serta gabungan badan bukan kerajaan yang membentuk Gagasan Bangsa (GB).


Pada PRU15, calon GTA bertanding menggunakan logo Pejuang kecuali di Kelantan yang menggunakan logo Putra.


Dr Mahathir berkata beliau tidak kisah sekiranya GTA tidak menjadi sebahagian daripada kerajaan disebabkan enggan bekerjasama sama ada dengan BN, PN dan PH.


Beliau berpendapat adalah lebih baik wakil rakyat GTA menjadi pembangkang daripada bekerjasama dengan mana-mana individu yang disifatkannya sebagai penyangak.


Sementara itu, bekas perdana menteri itu berkata kempen GTA pada masa ini berjalan lancar dan semakin rancak dan beliau percaya gabungan itu mempunyai peluang untuk menang di beberapa kerusi tertentu.

×
Berita Terbaru Update