5 individu ditahan samun bersenjata parang di klinik gigi

ACP Mohd Zaid menunjukkan parang yang digunakan dalam kejadian samun di sebuah klinik gigi semasa sidang media hari ini. Gambar kredit Polis Kajang 

KAJANG— Polis menahan empat lelaki dan seorang wanita kerana disyaki terlibat dalam kejadian samun bersenjatakan parang di sebuah klinik gigi di Bandar Baru Putra, Bangi, dekat sini, pada Isnin lepas.


Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata daripada lima suspek yang ditahan, dua daripadanya merupakan suspek utama berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di premis itu.


Antara rampasan daripada suspek


Menurutnya, dua suspek itu ditahan di sekitar Sungai Tangkas, Kajang pada 4.58 petang semalam, lapor Bernama


Beliau berkata manakala tiga lagi individu iaitu seorang wanita, seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki tempatan turut ditahan di sekitar Kajang kerana mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.


"Wanita yang ditahan merupakan bekas isteri seorang daripada suspek utama dan didapati memiliki barang kemas manakala lelaki warga Bangladesh pula ditahan kerana membeli dan memiliki telefon bimbit kes berkenaan. Seorang lagi lelaki ditahan adalah pemilik motosikal yang digunakan suspek ketika itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, di sini, hari ini.


Mohd Zaid berkata kesemua mereka yang ditahan berumur lingkungan 22 hingga 47 tahun dan polis turut merampas dua bilah parang, dua beg galas, dua topi keledar dan sebuah motosikal Yamaha R15 yang digunakan suspek dalam kejadian itu.


Selain itu, beliau berkata polis turut merampas tujuh telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah komputer riba, seutas rantai emas dan sebentuk cincin yang dilarikan suspek.


"Dua suspek utama masing-masing mempunyai 12 dan dua rekod lampau jenayah berkaitan dadah dan samun bersenjata dengan seorang daripada mereka baru sahaja dibebaskan daripada hukuman di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959, September lepas.


"Kesemua suspek kecuali lelaki warga Bangladesh, positif dadah hasil ujian saringan air kencing dan mereka kini direman selama lima hari sehingga 14 Nov bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata," katanya.


Terdahulu, tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup premis berkenaan berhubung kejadian itu apabila suspek bersenjatakan parang telah masuk dan merompak pekerja dan pelanggan klinik gigi tersebut, bagaimanapun mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Next Post Previous Post