Notification

×

Iklan

Iklan

5 helikopter, dron digerakkan hadapi Monsun Timur Laut

| November 10, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-10T08:34:19Z
Setiap negeri mempunyai perkhidmatan dron manakala sebuah helikopter ditempatkan di Borneo dan empat lagi di Semenanjung. Gambar hiasan

HULU SELANGOR— Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menggerakkan lima helikopter dan dron sebagai persediaan menghadapi fasa peralihan Monsun Timur Laut yang melanda negara ketika ini.


Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata aset berkenaan akan diatur gerak bagi memantau lokasi banjir selain memudahkan proses mencari dan menyelamat terutamanya di lokasi terpencil berlakunya bencana.


“Sekiranya ada ciri-ciri banjir, paras air meningkat dan hujan, aset udara ini sudah siap siaga untuk diatur gerak apabila diperlukan.


“Bagi dron, kami mempunyai pusat pangkalan iaitu di Subang dan di setiap negeri mempunyai perkhidmatan dron manakala sebuah helikopter ditempatkan di Borneo dan empat lagi di Semenanjung,” katanya, lapor Bernama.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Pentauliahan Diploma Pascasiswazah dan Diploma Lanjutan Sains Kebombaan Siri 1 di Akademi JBPM di Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini.


Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk M Noor Azman Taib yang menyampaikan anugerah kepada 129 pelatih selepas berjaya menamatkan kursus Diploma Pascasiswazah dan Diploma Lanjutan Sains Kebombaan.


Mohammad Hamdan berkata setakat ini kesan kepada peralihan Monsun Timur Laut dapat dilihat di beberapa kawasan seperti Hulu Langat dan Taman Seri Muda di Shah Alam namun keadaannya masih terkawal.


“Kita sudah pantau dengan baik dan tiada kemudaratan yang dahsyat...paras air masih dalam kawalan tetapi pemantauan terus dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya.


Beliau berkata 333 balai JBPM seluruh negara bersedia 24 jam bagi mengadapi sebarang situasi sama ada banjir, bencana dan usaha menyelamat yang lain.


Sebelum ini Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan Monsun Timur Laut bermula 7 Nov dan berterusan sehingga Mac 2023.

×
Berita Terbaru Update