Abun dakwa PH sudah raih sokongan majoriti yang mampu bentuk kerajaan persekutuan baharu


KUCHING-- Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Hulu Rajang, Abun Sui Anyit mendakwa pakatan itu sudah mendahului majoriti sokongan untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baharu.


Untuk itu, tegas beliau, rakyat Sarawak dirayu untuk memberikan undi kepada calon-calon PH yang bertanding di Sarawak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).


"Dengan PH sedang mendahului dalam dapatan sokongan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu, rakyat Sarawak dirayu untuk memberikan undi kepada calon-calon PH yang bertanding di Sarawak.


"Ini akan melancarkan pentadbiran Kerajaan Persekutuan PH yang akan dibentuk nanti," katanya menerusi kenyataan media hari ini.


Tambah Abun, sebagai blok terbesar yang bertanding, maka kerajaan yang stabil dan kuat dapat dibentuk dengan rakyat Sarawak memberi kemenangan kepada calon-calon PH di Sarawak yang dianggotai parti komponen iaitu PKR, DAP dan Amanah. 


Jelasnya, suara Sarawak yang kuat hanya dapat didengar dengan penyertaan wakil rakyat PH dari Sarawak ke dalam kerajaan PH.


"Justeru, rakyat Sarawak wajar memberi sokongan dan undi kepada calon-calon PH yang bersih dan berintergriti," ujarnya.

Next Post Previous Post