Notification

×

Iklan

Iklan

Zuraida Presiden baharu PBM

| Oktober 08, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-10-08T03:21:24Z
Datuk Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR-- Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin kini menerajui Parti Bangsa Malaysia (PBM) setelah dilantik sebagai presiden baharu parti itu semalam menggantikan Datuk Larry Sng Wei Shein.


Pelantikan Ahli Parlimen Ampang itu dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi PBM yang berlangsung semalam setelah mesyuarat berkenaan mengesahkan tujuh usul yang diluluskan semasa Persidangan Agung Tahunan (PAT) 2022 di Shah Alam pada 1 Oktober lepas, termasuk meletakkan Zuraida sebagai Presiden PBM.


"Majlis Tertinggi yang bersidang semalam telah meneliti dan menjalankan proses yang wajar serta bersesuaian dengan garis panduan Perlembagaan Parti telah mengangkat Zuraida sebagai Presiden parti,” kata Setiausaha Agung PBM Nor Hizwan Ahmad dalam kenyataan hari ini.


"Majlis Tertinggi dan seluruh ahli parti mengucapkan tahniah atas pelantikan ini dan mendoakan Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin terus diberi kekuatan bagi menerajui parti untuk terus cemerlang dalam memberi khidmat terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya dan beliau turut berterima kasih kepada Sng yang juga Ahli Parlimen Julai kerana telah memimpin parti sebelum ini.


Pada 26 Mei lepas, Zuraida mengumumkan keluar daripada Bersatu dan menyertai PBM.


Zuraida dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad.


Beliau dilantik semula ke jawatan sama semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum bertukar ke portfolio Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi di bawah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


PBM didaftarkan pada 27 Okt 2021 dan diasaskan oleh Mohamad Sukri Yusri yang juga presiden pertamanya dan beberapa ahli politik lain selepas mengambil alih Parti Pekerja Sarawak (SWP).


Sng mengambil alih jawatan presiden pada Jan 2022 dan ketika ini, termasuk Zuraida dan Sng, PBM mempunyai enam orang Ahli Parlimen termasuk Steven Choong (Tebrau); Mohammadin Ketapi (Lahad Datu); Datuk Dr Xavier Jayakumar (Kuala Langat) dan Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat).


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update