Notification

×

Iklan

Iklan

Bajet 2023 mampu anjak inisiatif pelancongan Sarawak

| Oktober 08, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-10-08T03:54:08Z

Abdul Karim Hamzah

KUCHING-- Inisiatif “Sia Sitok” yang dilaksanakan secara berterusan oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), bakal menikmati anjakan ke hadapan berikutan galakan Keluarga Malaysia untuk melancong ke destinasi pilihan dalam negara, seperti yang diumumkan dalam Bajet 2023.


Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata peruntukan RM25 juta dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat bagi penginapan, pakej pelancongan, kraf tangan dan karya seni, akan dapat menggalakkan aktiviti pelancongan domestik.


“Pemberian Geran Padanan Galakan Melancong (GAMELAN) yang melibatkan kempen promosi dan pemasaran bersama industri, boleh menjadi pemangkin dan insentif menganjurkan program berskala besar termasuk acara sukan antarabangsa,” katanya hari ini bagi mengulas Bajet 2023 yang dibentangkan semalam.


Menurutnya pelancongan kesihatan negeri itu juga, turut mendapat manfaat daripada galakan cukai untuk eksport perkhidmatan jagaan kesihatan swasta, yang akan dilanjutkan sehingga 2025.


“Peruntukan kepada ‘Malaysia Healthcare Travel Council’ yang berjumlah RM20 juta juga, dapat memperkukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong kesihatan,” katanya.


Sementara itu, pengusaha pelancongan berkonsepkan budaya Melanau, Diana Rose menyifatkan belanjawan negara tahun hadapan, cenderung ke arah membantu pelancongan yang menjadi industri pertama yang terjejas kerana COVID-19 dan yang terakhir untuk pulih semula.


“Ini bajet yang mesra pelancongan dengan pelbagai insentif, untuk membantu industri ini untuk kembali menjadi penyumbang untuk pendapatan negara, yang mengambil kira keperluan pelbagai pengusaha seperti kraftangan, penginapan dan sebagainya,” katanya.

-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update