Tudung logo parti politik laris, meriahkan PRU15

Antara 13 logo parti yang dipilih sebagai motif tudung ialah Gabungan Parti Sarawak (GPS), Barisan Nasional, UMNO, PKR, PAS, Bersatu, Amanah dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA). Gambar kredit kekaboo

KUALA LUMPUR— Bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membuka pintu rezeki buat pengusaha tudung terkenal apabila rekaan tudung bermotifkan logo parti politik mendapat sambutan hangat di pasaran.


Pengasas bersama tudung bawal Kekaboo Nur Hazwani Abdul Zainal berkata 11,000 helai tudung dijual dalam tempoh kurang 20 minit selepas rekaan itu dimuat naik di laman sesawang jenama tersebut pada 19 Okt lepas.


Antara 13 logo parti yang dipilih sebagai motif tudung ialah Barisan Nasional, UMNO, PKR, PAS, Bersatu, Amanah dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).


"Setelah sekian lama tiada peristiwa besar di Malaysia bagi meraikan sesuatu disebabkan penularan COVID-19, kami mahu memainkan peranan dan menyumbang bagi menghangatkan dan memeriah suasana peristiwa lima tahun sekali ini,” katanya kepada Bernama.


Pertama kali mengeluarkan corak tudung dengan motif itu sejak menubuhkan jenama fesyen tersebut pada 2014, wanita berusia 31 tahun berkenaan tidak menyangka menerima sambutan luar jangkaan dan menyasarkan pengeluaran lebih 50,000 helai tudung sehingga PRU15.


Nur Hazwani berkata idea menghasilkan rekaan itu bagi memenuhi permintaan pelanggan daripada pelbagai parti politik selain mahu menawarkan produk mengikut musim dan trend semasa.


"Pada awalnya kita memuat naik video menunjukkan tujuh sampel tudung di TikTok... selepas tiga jam saya ada niat untuk memadam video itu namun apabila tengok maklum balas di ruangan komen, sambutan luar biasa dan jumlah like juga mencecah 10,000," katanya.


Beliau yang berasal dari Temerloh, Pahang berkata atas permintaan ramai, pihaknya turut menambah satu lagi rekaan khas tudung daripada 12 rekaan asal dengan menggabungkan semua logo parti.


Nur Hazwani berkata tudung bawal material cotton voile tersebut ditawarkan dalam dua saiz iaitu bidang 45 inci dan 50 inci, masing-masing berharga RM28 dan RM38 serta boleh didapati menerusi laman web jenama itu selain ejen dan stokis di seluruh negara. 


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian bagi PRU15, penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.


-- BERNAMA 

Next Post Previous Post