Sindiket seludup PATI didalangi pegawai imigresen tumpas

Dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan petang, Sindiket seludup PATI didalangi pegawai imigresen tumpas
Khairul Dzaimee menunjukkan pasport milik PATI yang dicop palsu oleh sindiket Ah Chong semasa sidang media di Laluan Keluar Bas, KSAB. Gambar SInar Harian

ISKANDAR PUTERI—Dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan petang tadi bagi membantu siasatan berhubung kes sindiket menyeludup pendatang tanpa izin yang disenarai hitam untuk kembali memasuki negara ini.


Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata dua individu itu berusia lingkungan 20 hingga 27 tahun dan bertugas di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini.


Beliau berkata terdahulu JIM menumpaskan suatu sindiket menyeludup pendatang tanpa izin dikenali sebagai sindiket Ah Chong menerusi operasi di Larkin Sentral dan KSAB kira-kira 1.30 petang tadi.


"Turut ditahan 25 pendatang tanpa izin warga Indonesia melibatkan 13 lelaki dan 12 wanita berserta dua tekong warga tempatan berusia 34 dan 49 tahun yang dipercayai bertindak sebagai pengangkut (transporter)," katanya pada sidang media di Laluan Keluar Bas dan Lori di KSAB hari ini.


Katanya sindiket itu disyaki aktif sejak sempadan antarabangsa Malaysia dibuka April lepas dengan menyasarkan pendatang tanpa izin yang disenarai hitam daripada memasuki negara ini.


Khairul Dzaimee berkata sindiket itu mengenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM8,000 seorang dan dianggarkan mereka telah membawa masuk sekurang-kurangnya 600 pendatang tanpa izin dengan mengaut keuntungan lebih RM2.5 juta.


"Dalam operasi ini kita berjaya menahan dua tekong dan 25 warga Indonesia yang memasuki negara ini melalui Singapura. Modus operandi sindiket ini adalah dengan membawa masuk pendatang tanpa izin melalui LinKedua, sebelum dua pegawai imigresen di KSAB yang terlibat melepaskan mereka tanpa sebarang pemeriksaan sebelum dibawa ke Larkin Sentral menggunakan bas.


"Di Larkin Sentral, terdapat satu bilik khas disediakan sindiket untuk memberikan cop palsu kepada pasport milik kesemua pendatang tanpa izin itu bagi mengaburi mata pihak penguasa dan selepas itu mereka akan dibawa menaiki bas ke Terminal Bersepadu Selatan di Kuala Lumpur," katanya. 


Khairul Dzaimee berkata 25 warga Indonesia yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Imigresen 1959/63, manakala dua pegawai imigresen dan dua tekong warga tempatan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.


"Pihak Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang didapati terlibat dengan kegiatan penyeludupan migran," tambahnya.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.