Sering jadi mangsa buli, lelaki pukul rakan guna botol arak


KUALA LUMPUR—Seorang juruelektrik ditahan polis semalam selepas disyaki mencederakan rakannya menggunakan botol arak dalam satu pergaduhan di depan sebuah rumah kedai di Pangsapuri Seri Intan, Lembah Jaya Selatan, Ampang di sini, pada Selasa lepas.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, kedua-dua mereka yang berumur 24 tahun bertemu di lokasi kejadian sebelum berlaku pergaduhan antara mereka, lapor Bernama.


Beliau berkata mangsa yang bekerja sebagai penjaga di sebuah rumah kebajikan cedera di bahagian kepala termasuk di mata kiri, tangan kiri serta belakang telinga kanan akibat dipukul dengan botol arak dan mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.


“Siasatan mendapati kejadian berpunca akibat suspek berang dengan mangsa yang didakwa selalu membulinya apabila mabuk,” katanya ketika dihubungi hari ini.


Lelaki yang ditahan pada 6.07 petang semalam di sekitar Ampang itu kini direman selama empat hari hingga 2 Nov bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.

Next Post Previous Post